X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Masih ada masa tambah baik Belanjawan 2021

Najib ketika mengulas mengenai Belanjawan 2021 pada Program Sinar Live bertajuk Apa Kisah Belanjawan 2021 di Karangkraf, Shah Alam hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan peruntukan bagi Belanjawan 2021 ketika pandemik koronavirus (Covid-19) yang hanya 2.5 peratus lebih tinggi berbanding Belanjawan 2019 tidak cukup untuk merangsang ekonomi negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, justeru kerajaan masih ada masa untuk menambah baik Belanjawan 2021 sehingga ia benar-benar memenuhi keperluan rakyat dalam waktu sukar ini.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa yang diangkat menerusi Belanjawan 2021, kerajaan perlu mengambil serius dua perkara yang ditekankan beliau dalam perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Ada perkara-perkara yang baik saya iktiraf dalam ucapan saya umpamanya projek-projek yang produktif disambung semula, bantuan nelayan, bantuan kebajikan tapi kita lihat bajet ini berjumlah RM322.5 bilion semasa Covid-19.

"Peruntukan bajet 2019, jumlahnya RM314.6 bilion, hanya 2.5 peratus lebih tinggi.

"Sebab itu saya cadangkan dua perkara iaitu pengeluaran one-off RM10,000 dari akaun satu KWSP dan moratorium dilanjutkan secara pukal kerana bajet ni tidak mencukupi untuk merangsang ekonomi dalam keadaan yang amat luar biasa ini," katanya pada Program Sinar Live bertajuk Apa Kisah Belanjawan 2021 hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kerajaan mempunyai dana untuk menguruskan peruntukan belanjawan yang diumumkan, Najib menjelaskan, ia diperoleh daripada pinjaman dari pasaran domestik.

"Dengan tambahan pinjaman yang telah dilakukan kita telah menghampiri satu trilion pinjaman. Sebagai peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) saya jangka ia akan melepasi bumbung 60 peratus pada sikit masa lagi kesan daripada pinjaman dilakukan kerajaan dulu," katanya.

Ujar Najib, hutang negara akan terus meningkat tanpa pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Kerajaan ada duit tapi disebabkan pemansuhan GST menyebabkan kelompongan dari segi hasil dan menyebabkan hutang akan terus meningkat. Jika kita tak laksanakan semula GST hutang kita akan naik secara lagi mendadak," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!