Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT mengakhiri dagangan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat pada Khamis selepas merekodkan prestasi kukuh pada sebelah pagi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan diniagakan pada 4.4350/4395 berbanding dolar AS daripada 4.4385/4435 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia terkini menunjukkan kadar inflasi beransur-ansur turun kepada 3.4 peratus pada Mac 2023 selepas kekal pada 3.7 peratus dalam tempoh dua bulan lepas.

Beliau berkata walau bagaimanapun, kadar inflasi masih bergerak dalam wilayah yang tinggi.

"Walaupun satu lagi kenaikan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas masih menjadi satu senario yang munasabah namun, peluang yang mesti dimanfaatkan segera itu nampaknya semakin mengecil berikutan prospek ekonomi global yang mencabar,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik susut berbanding euro kepada 4.8616/8666 daripada 4.8508/8563 ketika ditutup pada Rabu serta rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2923/2958 daripada 3.2919/2959.

Ringgit turun berbanding pound British kepada 5.5127/5183 daripada 5.5100/5162 semalam.

Unit tempatan juga diniagakan rendah berbanding mata wang negara Asean.

Mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 296.4/297.1 daripada 296.1/296.8 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.8947/9134 daripada 12.8719/8917.

Ringgit lemah berbanding peso Filipina kepada 7.91/7.93 daripada 7.89/7.91 semalam dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3256/3292 daripada 3.3190/3230.

Operasi Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya akan ditutup pada Jumaat 21 April 2023 dan pada Isnin, 24 April 2023, sempena cuti umum tambahan Aidilfitri.

Bursa Malaysia akan menyambung semula dagangan pada Selasa, 25 April 2023. - Bernama