X

Kindly register in order to view this article
!

Wang lebih RM80,000 lesap dengan satu panggilan telefon

Seorang pengusaha kilang kopi kehilangan RM88,379.94 melalui 33 transaksi tanpa disedari akibat terpedaya dengan satu panggilan telefon. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A

YAN - Seorang pengusaha kilang kopi kehilangan RM88,379.94 melalui 33 transaksi tanpa disedari akibat terpedaya dengan satu panggilan telefon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, lelaki berusia 63 tahun itu menerima panggilan daripada seorang individu menggunakan nama 'Nurhidayah' meminta nombor OTP atau TAC kononnya telah tersilap memasukkan nombor telefon mangsa.

Menurutnya, suspek mendakwa nombor telefon itu telah didaftarkan ke atas akaun 'Go Payz' milik suspek.

"Suspek kemudian meminta mangsa memaklumkan nombor OTP atau TAC yang diterima bagi tujuan mengemaskini akaun 'Go Payz' tersebut.

"Mangsa bagaimanapun telah mendedahkan semua nombor yang diterima kepada suspek," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Elias, mangsa hanya menyedari ditipu apabila dihubungi pihak bank bertanyakan tentang jumlah transaksi pemindahan wang yang terlalu banyak ke dalam akaun ketiga yang tidak dikenali.

Disebabkan sangsi, katanya, semakan dibuat dan akhirnya mendapati sebanyak 33 transaksi pemindahan wang telah dilakukan tanpa disedari dari akaun mangsa membabitkan jumlah RM88,379.94.

"Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Yan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!