Pas sambut baik larangan jual arak di kedai serbaneka, runcit

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyambut baik terhadap garis panduan baharu penjualan minuman keras termasuk penguatkuasaan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dengan penguatkuasaan tersebut ia tidak bermakna masyarakat bukan Islam tidak dibenarkan meminum minuman keras.

Sebaliknya, beliau percaya ia lebih kepada usaha kerajaan untuk mengawal penjualan minuman keras agar ia berada di dalam lingkungan undang-undang dan garis panduan yang telah ditetapkan.

"Masyarakat bukan Islam masih lagi dibenarkan membeli minuman keras seperti biasa tetapi di premis-premis yang diberikan lesen oleh pihak berkuasa.

"Langkah tersebut dirasakan bertepatan dengan keadaan semasa di mana kerajaan berusaha untuk membendung penyalahgunaan penjualan minuman keras," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa pada Ahad lalu.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berharap semua pihak mematuhi arahan mahu pun garis panduan baharu itu kerana ia adalah untuk kebaikan semua dan meminta agar ia tidak dipolitikkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya merasakan bahawa usaha ini wajar diberikan pujian dan berharap langkah ini dicontohi oleh negeri-negeri lain mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ia juga adalah satu usaha yang selaras dengan dasar kerajaan untuk mewujudkan budaya kehidupan yang sihat serta masyarakat bertamadun dan bertanggungjawab," katanya.