RMK12: Kerajaan pelawa masyarakat kongsi pendapat

MUSTAPA
MUSTAPA
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan mempelawa seluruh lapisan masyarakat untuk berkongsi cadangan dan pendapat mengenai hala tuju pembangunan negara sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataannya berkata, cadangan itu boleh dilakukan bermula hari ini sehingga 2 Disember depan.

"Pandangan boleh diberi tumpuan dalam beberapa bidang iaitu langkah memulihkan semula ekonomi, menangani isu kemiskinan, pembangunan modal insan mahir, penerimagunaan teknologi dan pendigitan, penyertaan masyarakat dalam ekonomi digital, kelestarian alam sekitar, pembangunan Sabah dan Sarawak serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam," katanya.

Menurutnya, menyedari bahawa negara sedang berada dalam situasi yang sukar dan mencabar akibat pandemik koronavirus (Covid-19), kerajaan amat prihatin dan berusaha memastikan RMK12 yang sedang dalam peringkat akhir penyediaan, digubal untuk membolehkan ekonomi negara kembali pulih serta berdaya saing.

"Memandangkan kemakmuran rakyat adalah keutamaan kerajaan, langkah yang sewajarnya akan diambil untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara di samping memastikan kesejahteraan dan kekayaan negara dapat dikongsi bersama oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, asas penyediaan RMK12 adalah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang bertujuan untuk mewujudkan pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta membina negara bersatu, makmur dan bermaruah.

"Pandangan-pandangan yang anda berikan amat dihargai," katanya.

Cadangan boleh dibuat melalui laman web khas di alamat http://rmke12.epu.gov.my/engagement dan menggunakan tanda pagar #RMKe12 di media sosial Facebook, Twitter dan Instagram.

Artikel Berkaitan:

Mustapa berkata, kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) sedang dalam proses akhir penyediaan RMK12 yang akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun 2021.

"Cadangan yang dikemukakan akan dipertimbang dan diperincikan sebagai input dalam penyediaan RMK12," katanya.

Terdahulu sesi libat urus pertama telah dijalankan pada 5 November sehingga 31 Disember 2019.

"EPU telah menerima 188 maklum balas dalam talian yang terdiri daripada 42 dari organisasi kerajaan, 30 dari organisasi swasta, 50 dari badan bukan kerajaan (NGO), 14 pelajar dan 52 lain-lain organisasi," katanya.

Katanya, maklum balas yang diterima merangkumi empat dimensi iaitu 63 Dimensi Ekonomi, 44 Dimensi Sosial, 51 Dimensi Alam Sekitar dan 30 Dimensi Alat Dasar dan Tadbir Urus.