X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 19 Mei 2022

Tinggal anak, terjun lombong

Anggota APM membawa suspek yang cedera untuk dihantar ke HRPB.
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki sanggup meninggalkan anak lelakinya berusia sembilan tahun dan terjun lombong dalam cubaan meloloskan diri daripada ditahan polis di Jalan Cenderawasih, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini semalam.

Tindakan nekad suspek yang dipercayai terlibat dalam kes curi itu memaksa polis bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung bersampan bagi mengesan suspek di lombong yang mempunyai kedalaman lebih 10 meter.

Usaha mengesan suspek turut berdepan dengan kesukaran apabila suspek menyorok dan bernafas di sebalik pokok keladi bunting sebelum dia akhirnya berjaya dibawa naik kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, sebelum kejadian, pasukan peronda polis (MPV) ternampak kereta Proton Saga yang dipandu suspek berusia 41 tahun itu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

Anggota APM yang tiba membantu polis mengesan suspek yang telah terjun lombong di Manjoi semalam.
Anggota APM yang tiba membantu polis mengesan suspek yang telah terjun lombong di Manjoi semalam.

"Polis meminta kenderaan diberhentikan, namun suspek bertindak memecut laju dan memaksa anggota mengekorinya sehingga kereta tersebut berhenti jalan mati di Jalan Cenderawasih. Suspek kemudiannya nekad melarikan diri dengan terjun ke dalam lombong.

"Anggota membuat pemeriksaan mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki dalam kenderaan itu bersama pelbagai alat ganti kereta dan motosikal disyaki dicuri," katanya.

Menurutnya, suspek akhirnya berjaya ditangkap selepas empat jam operasi mengesannya dijalankan di lombong tersebut.

"Polis telah merampas sport rim kereta dan motosikal, alternator, komponen enjin serta kereta Proton Saga tersebut.

"Suspek yang mengalami luka di kepala dan calar di kedua-dua kakinya akibat terkena objek ketika terjun di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan," katanya.

A Asmadi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

"Kanak-kanak tersebut diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas difahamkan dua beranak itu sudah sebulan tinggal di dalam kereta tersebut," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!