X

Kindly register in order to view this article
!

Kecenderungan Pas sokong PN tidak jejaskan MN

Syed Agil Alsagoff
A
A

SHAH ALAM - Kolaboratif antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) masih relevan walaupun Pas mutakhir ini dilihat lebih cenderung menyokong Perikatan Nasional (PN).

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan, sokongan Pas terhadap PN penting bagi meneruskan kesinambungan dan kelestarian kerajaan hari ini.

"Tambahan pula terdapat beberapa anggota kabinet dari parti tersebut, begitu juga ada dalam kalangan pemimpin Pas yang dilantik menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Ini menunjukkan bahawa kesatuan dan kehadiran Pas dalam kerajaan PN memang diberi keutamaan untuk bersama-sama mendirikan kerajaan hari ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, Syed Agil berkata, sokongan Pas terhadap dasar-dasar kerajaan PN tidak membayangkan parti itu membelakangkan pemeteraian dalam MN kerana masih mengekalkan kerjasamanya dengan UMNO.

Katanya, pendirian Pas menyokong kerajaan PN dilihat sebagai dasar keterbukaan parti itu untuk bekerjasama dengan parti yang mendirikan kerajaan apatah lagi Pas dijemput menganggotai PN untuk mengukuhkan kedudukan politik kerajaan hari ini.

"Kesudahannya nanti bukan isu politik yang harus diberi penekanan tetapi sejauh manakah gagasan MN dapat memperjuangkan kemakmuran dan keadilan rakyat.

"Ia terutamanya ketika kerajaan dan negara menghadapi kesukaran mendepani isu-isu nasional seperti koronavirus (Covid-19) dan Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini," katanya.

Terdahulu, hubungan Pas dan UMNO menjadi bualan dan dilihat tidak sehaluan apabila Ahli Parlimen Pasir Mas dari Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan sokongan bersyarat ditetapkan Ahli Parlimen Pekan dari Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyokong Belanjawan 2021 seumpama “hikayat Puteri Gunung Ledang”.

Fadhli mengkritik Najib kerana bekas Perdana Menteri itu mahu kerajaan PN melanjutkan moratorium pinjaman dan membenarkan pencarum mengeluarkan wang dari akuan satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Terbaru Fadhli berkata, walaupun pendirian Pas berbeza berhubung Belanjawan 2021, khususnya melibatkan isu KWSP dan lanjutan moratorium, ia tidak menandakan dua parti itu “bertembung”.

Mengulas lanjut, Syed Agil menyifatkan keadaan Pas dengan UMNO adalah berbeza kerana sokongan UMNO terhadap kerajaan PN dilihat hanya melibatkan isu-isu kenegaraan dan nasional.

Beliau turut berpandangan bahawa UMNO juga menganggap ahli-ahli parti yang menganggotai Kabinet tidak mewakili parti berkenaan sebaliknya mereka yang dilantik berdasarkan kapasiti individu itu sendiri.

Begitupun katanya, isu kerjasama UMNO-Pas dijangka tidak akan menimbulkan krisis atau keraguan di antara kedua-dua parti apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah melahirkan hasrat untuk bersama MN.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan antara tiga parti iaitu Pas, UMNO dan Bersatu sedang berjalan dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Hari ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa pula berkata, ketiga-tiga parti akan membincangkan kerjasama itu dalam mesyuarat Jawatankuasa Perunding MN pada 18 November ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!