Pengusaha bas tertekan, tanggung banyak hutang

Sebahagian wakil pengusaha bas melaka selepas membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, Banda Hilir, di sini, hari ini.
Sebahagian wakil pengusaha bas melaka selepas membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, Banda Hilir, di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pengusaha bas di negeri ini turut berdepan risiko gulung tikar kerana terpaksa menanggung kerugian sejak lapan bulan lalu akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Mereka terpaksa menanggung kerugian hampir ratusan ribu ringgit sepanjang tempoh itu kerana tidak ramai yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Presiden Gabungan Bas Malaysia Cawangan Melaka, Muhammad Azwan Jajendran Abdullah, 53, berkata, pihaknya akur penularan Covid-19 yang menyebabkan banyak sektor ekonomi terkesan, namun berharap ada bantuan dan inisiatif kepada mereka seperti sektor lain.

"Ada pengusaha terpaksa menjual kenderaan mereka tetapi tiada sambutan daripada pembeli dan ada majikan terpaksa menjadi pemandu bas supaya dapat menyara keluarga

"Ada yang sanggup menoreh getah, tidak kurang juga terpaksa berhutang untuk membayar insurans dan pembiayaan bulanan yang tertunggak," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, Banda Hilir di sini hari ini.

Muhammad Azwan Jajendran
Muhammad Azwan Jajendran

Chen Cheng Hwa, 32, yang mengalami nasib sama turut sedih dan tertekan kerana tiada keistimewaan seperti penangguhan pembayaran bulanan seperti yang ditawarkan bank kepada pengusaha bas.

"Kebanyakan kami yang membuat pinjaman melalui syarikat kredit terpaksa menanggung derita setiap kali berdepan pembayaran ansuran bulanan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Kami terpaksa membayar seperti biasa kerana ada syarikat kredit yang tidak memberi penangguhan. Saya juga perlu memperuntukkan lebih RM100,000 sebulan untuk tujuan itu walaupun pendapatan tidak stabil sejak Mac," katanya.

Cheng Hwa
Cheng Hwa

Sementara itu, Mohd Farid Eshak, 34, berkata, walaupun Program Subsidi Upah (PSU) banyak membantu pengusaha bas sepertinya bagi menggaji pekerja sebanyak RM600 sebulan namun masih terpaksa menanggung bebanan kewangan yang begitu tinggi.

Menurutnya, situasi itu mengakibatkan pengusaha terpaksa menanggung bebanan hutang yang banyak dengan pelbagai kos.

Terdahulu, sebanyak lima laporan polis dibuat gabungan terbabit yang mewakili kira-kira 150 pengusaha perkhidmatan bas terhadap lima kementerian yang didakwa tidak memperuntukkan dana khas bagi membantu golongan terbabit.