Merokok: Lelaki didenda RM1,000 cederakan pekerja Starbucks

Seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah cederakan pekerja Starbucks kerana tidak puas hati ditegur merokok di tempat awam.
Seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah cederakan pekerja Starbucks kerana tidak puas hati ditegur merokok di tempat awam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang mencederakan pekerja kedai kopi kerana tidak puas hati ditegur merokok di tempat awam hari ini dijatuhkan hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Mitchel Glend Samson, 27, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinyadan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Samson didakwa mencederakan pekerja kedai Starbucks, Nur Hanisah Abu Hasan, 23, di hadapan kedai Starbucks Plaza Berjaya, Jalan Imbi, di sini pada 3.20 petang, 13 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Mohamed Fared bertanya kepada tertuduh mengenai kejadian itu dan rayuannya untuk mengurangkan hukuman.

Tertuduh berkata, dia tidak dibenarkan masuk oleh pekerja kedai kopi selepas mengimbas aplikasi MySejahtera di kedai itu dan statusnya adalah ‘berisiko tinggi’ lalu duduk di tepi Starbucks sambil menghisap rokok sementara menunggu rakan untuk membelikan kopi untuknya.

“Tetapi pekerja Starbucks datang dan menghalang saya daripada menghisap rokok dengan cara yang kurang sopan. Saya cuba cakap baik-baik dengan dia tetapi tidak diendahkan.

"Tetapi saya mengaku bersalah kerana memang saya naik tangan kepadanya. Saya mohon maaf dan mohon hukuman ringan kerana masih menanggung keluarga di Sabah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh mengambil kira faktor mangsa hanya menjalankan tugasnya dan kecederaan di bahagian mulut yang dialaminya. - Bernama