Longgarkan sekatan pergerakan dalam negeri: Mukhriz

Mukhriz ketika perbahasan Bajet Kedah 2021 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Mukhriz ketika perbahasan Bajet Kedah 2021 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sekatan pergerakan yang dikenakan kepada penduduk Kedah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu sehingga 6 Disember depan diharap dapat dilonggarkan bagi memberi peluang kepada mereka mencari rezeki di daerah lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri sepatutnya mendengar rintihan mereka ketika ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara daerah sangat menjejaskan pendapatan mereka.

"Seboleh-bolehnya, biarlah sekatan pergerakan mengikut negeri dilonggarkan bagi membolehkan penduduk Kedah di dalam negeri kita ini.

"Lima bandar utama yang diisytiharkan sebagai kawasan bebas berniaga tidak akan berjaya sepenuhnya jika penduduk tidak dibenarkan bergerak merentasi daerah," katanya ketika perbahasan Bajet Kedah 2021 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Mukhriz turut mencadangkan sekatan pergerakan hanya di kawasan wujud kluster jangkitan.

"Janganlah kerana lapan kes positif koronavirus (Covid-19), satu negeri ini disekat pergerakannya.Yang terkini, selama sebulan. Cuba bayangkan betapa susah rakyat nak cari makan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri diharap dapat berunding dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk mencapai persetujuan bagi mengimbangi antara menyekat penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi rakyat.

Mukhriz juga berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk membenarkan Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong antarabangsa bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk sekaligus menjana hasil untuk negeri.

Artikel Berkaitan:

"Jika Singapura boleh membuka sempadannya kepada pelancong dan pelawat perniagaan dari China, Hong Kong, Australia dan sebagainya, kenapa tidak Pulau Langkawi," katanya.

Beliau turut memuji jasa penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri dan mereka dinaikkan gaji, akan diberikan Bantuan Khas selain bantuan khas.

"Bagaimana, kerajaan negeri disarankan memikirkan keutamaan mereka yang memerlukan bantuan.

"Ini realiti hari ini, bukan keadaan yang rakyat buat-buat untuk meraih simpati. Ketika mereka dalam kesempitan, saya rasa ini bukan masanya untuk bercakap mengenai projek mega di negeri ini," katanya.

Mukhriz juga mengakui semua projek berkenaan mampu memberi banyak manfaat kepada Kedah dan rakyat untuk jangka masa panjang namun rakyat memerlukan penyelesaian jangka masa pendek dan sederhana pada masa ini.