Bung Moktar jamin utamakan isu air, elektrik di Sabah

Bung Moktar (kanan) sebelum memulakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Bung Moktar (kanan) sebelum memulakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sekali lagi memberi jaminan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini bahawa beliau akan memberi keutamaan terhadap masalah bekalan air dan elektrik di Sabah.

Beliau berkata, masalah itu bukan sahaja menyebabkan jabatan atau syarikat pengendali mengalami kerugian tetapi rakyat Sabah turut menerima kesannya.

Menurutnya, syarikat pengendali air di Sabah mengalami kerugian sehingga RM300 juta setahun.

"Sebab itu saya minta pengarah jabatan air dan mereka yang mahir berbincang untuk mendapatkan keuntungan, tidak boleh rugi, elektrik kita rugi, air kita rugi," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Calvin Chong Ket Kiun (DAP-Elopura) berhubung langkah kerajaan menyelesaikan masalah air di kawasan beliau.

Bagaimanapun, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya meminta diberi tempoh untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik kerana baru sahaja menjawat jawatan itu kira-kira sebulan lebih lalu.

"Beri saya sedikit waktu, sebab saya baru masuk (menjawat jawatan) satu bulan lebih, keutamaan saya adalah air dan elektrik (bekalan).

"Dalam tempoh lima tahun ini, dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini, InsyaALLAH... Bukan saya guna ilmu hitam tetapi saya ada akal sedikit untuk menyelesaikan isu ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini boleh diselesaikan, rakyat Sabah akan mendapat bekalan air bukan saja di di Sandakan, Elopura tetapi seluruh Sabah," katanya.

Sementara itu, Bung Moktar ketika menjawab soalan lisan Justin Wong Yung Bin (DAP-Sri Tanjong) memaklumkan empangan air di Gudang Empat Tawau yang sedang dibina kini dijangka siap pada 2024 dengan perkembangan pembinaan ialah 1.76 peratus.

"Bagi memastikan bekalan air yang stabil di Tawau, kementerian saya melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah mengambil inisiatif jangka pendek iaitu membaiki segera paip di sekitar Perbandaran Tawau, taman perumahan di Jalan Utara, Taman Semarak, Taman Bintang, Jalan Apas dan di beberapa lokasi lain.

Beliau turut berkata, sebagai penyelesaian jangka panjang masalah air di kawasan itu, kementerian sedang dalam peringkat akhir melantik perunding untuk mengkaji cadangan projek pembinaan loji rawatan Air Cinta Mata 2 di Tawau.

"Projek ini merangkumi pembinaan komponen loji rawatan dengan kapasiti 30 juta liter sehari, muka sauk, sistem rangkaian paip dan tangki simpanan.

"Pelaksanaan projek itu akan dimulakan pada 2022 dan dijangka siap 2024," katanya.