Penjawat awam terpedaya skim pelaburan tidak wujud

Gambar hiasan. Gambar kecil: Baharudin Abdullah.
Gambar hiasan. Gambar kecil: Baharudin Abdullah.
A
A
A

DUNGUN - Seorang penjawat awam di daerah ini kerugian hampir RM5,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan di sebuah laman web.

Menurut sumber, kejadian bermula selepas lelaki berusia 45 tahun itu ternampak satu iklan pelaburan dari sebuah syarikat yang menawarkan pulangan lumayan pada 5 November lalu.

"Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang wanita yang merupakan wakil syarikat pelaburan itu melalui nombor telefon disertakan dalam iklan tersebut dan suspek memberitahu menerusi pelaburan itu mangsa boleh mendapat pulangan berlipat kali ganda.

"Selepas itu, mangsa ditawarkan pakej premium iaitu hanya perlu melabur RM1,000 dan dijanjikan pulangan sehingga RM13,500 dalam tempoh dua hari selepas pelaburan dibuat.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa terus bersetuju dan memasukkan RM1,000 ke dalam nombor akaun bank diberikan suspek pada 7 November lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, bagaimanapun selepas memasukkan wang berkenaan, suspek meminta mangsa memasukkan lagi RM3,375 dengan alasan kos proses hasil pelaburan selain suspek berjanji tidak perlu lagi membuat apa-apa bayaran selepas itu.

"Pada 9 November lepas, mangsa memasukkan jumlah wang diminta ke dalam nombor akaun yang baharu pula diberikan suspek tanpa sebarang syak.

"Namun selepas sejam memasukkan wang ke dalam akaun diberi, mangsa sekali lagi dihubungi suspek meminta lagi wang berjumlah RM 4,500 dengan alasan kos pertukaran mata wang asing.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi mangsa tidak berbuat demikian kerana tersedar dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat mangsa pada Rabu lalu.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.