X

Kindly register in order to view this article
!

Ekonomi Malaysia menuju pemulihan

Tengku Zafrul pada sidang akhbar di Wisma Bernama, Kuala Lumpur semalam. Foto Bernama
A
A

MENTERI Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abd Aziz yakin Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha pemulihan ekonomi apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan peningkatan ketara pada suku ketiga tahun ini.

Jelas beliau, KDNK negara menunjukkan peningkatan sebanyak 18.2 peratus berbanding suku kedua. Ikuti temu bual khas bersama Tengku Zafrul bersama media di Wisma Bernama, Kuala Lumpur semalam bagi mengupas lebih lanjut perincian Belanjawan 2021.

SINAR AHAD: Boleh Datuk Seri ulas tentang keadaan pertumbuhan ekonomi negara ketika ini?

TENGKU ZAFRUL: Pada Jumaat lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyatakan tentang prestasi ekonomi negara yang menunjukkan penambahbaikan yang ketara pada suku ketiga tahun ini.

Pada suku ketiga, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sebanyak 18.2 peratus berbanding suku kedua. Tetapi ia masih lagi menunjukkan penguncupan.

Penguncupannya hanya -2.7 peratus pada suku ketiga. Namun ini jauh berbeza dengan penguncupan -17.1 peratus pada suku kedua semasa negara dikejutkan dengan gelombang (penularan) koronavirus (Covid-19) pada masa itu.

Jika dibandingkan dengan -2.7 peratus pada suku ketiga ini, prestasi Malaysia sebenarnya ialah yang terbaik di rantau ini berbanding dengan Singapura yang mencatatkan -7 peratus, Indonesia (-3.5 peratus) dan Filipina (-11.5 peratus).

Jadi negara maju juga mengalami penguncupan seperti di Zon Euro ialah -4.3 peratus dan Amerika Syarikat (-2.9 peratus). Berbanding dengan negara-negara di Asia Tenggara, prestasi kita pada suku ketiga lebih baik.

Jadi prestasi suku ketiga ini juga menunjukkan pemulihan selaras dengan pembukaan semula ekonomi selepas pelaksanaan pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dimulakan pada bulan Mac lepas untuk membendung wabak Covid-19.

Malah pemulihan ekonomi yang kukuh juga dapat dilihat melalui prestasi ekonomi dari suku ketiga. Jadi kalau dilihat suku ketiga, bulan yang terakhir pada September, KDNK kita hanya menguncup sebanyak -1.6 peratus.

Ini adalah bukti kukuh bahawa pembukaan semula ekonomi secara berperingkat dan juga aktiviti ekonomi mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan telah berjaya mendapatkan hasil dan tidak memudaratkan ekonomi negara.

Perkara ini juga menunjukkan bahawa langkah PKP yang pelbagai adalah bertepatan. Kita perlu mengimbangi usaha melawan Covid-19 dan menjana ekonomi tanpa membahayakan kesihatan awam.

Pada suku keempat pula, usaha membendung wabak Covid-19 ini berterusan dengan kelonggaran yang sudah diperhalusi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta kementerian-kementerian dan juga agensi-agensi yang terlibat.

Saya percaya kita sudah berada di landasan yang betul. Kita perlu mendisiplinkan diri, mengikuti SOP dengan ketat supaya kita tidak merisikokan diri sendiri dan juga ekonomi tatkala kita menjalankan aktiviti harian seperti yang kita sedang lakukan sekarang.

TENGKU ZAFRUL. Foto Bernama
TENGKU ZAFRUL. Foto Bernama

Bagaimana pula dengan kesan pemulihan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan?

Insya-ALLAH langkah yang sedang diambil akan membantu kita meneruskan pemulihan ekonomi yang kita sudah lihat lebih kurang lima bulan yang lepas. Sekarang kita lihat pada penanda aras ekonomi. Eksport sekarang meningkat, sektor pembuatan pun berkembang manakala sektor perkhidmatan pula merekodkan penguncupan yang lebih kecil. Kita lihat ini sebagai sesuatu yang positif.

Pada masa sama usaha untuk memulihkan sektor-sektor yang terkesan melalui pakej-pakej yang telah diumumkan sebelum ini seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang masih lagi berjalan.

Seperti yang diumumkan minggu lepas, ia di perhebatkan lagi melalui Belanjawan 2021. Yang utama semua ini membantu negara merekodkan penurunan kadar pengangguran kepada 4.6 peratus pada September.

Ia bermula dengan 5.3 peratus pada Mei dan turun kepada 4.9 peratus pada Jun dan 4.7 peratus pada Julai dan Ogos dan terakhirnya September telah turun sampai ke 4.6 peratus dari segi pengangguran.

Sudah tentu masih terdapat risiko terhadap perniagaan disebabkan ketidaktentuan Covid-19 yang dapat dilihat sekarang di mana kita menjalankan PKP Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri. Ia juga akan memberi kesan pendapatan kerja dan pekerjaan itu sendiri.

Sebab itu kerajaan akan berusaha mengukuhkan penjanaan pekerjaan di sektor awam serta melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga sektor swasta dengan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan baharu.

Kita juga menumpukan kepada sektor yang berimpak tinggi seperti peranti perubatan, aeroangkasa dan sebagainya. Apa yang kita mahukan adalah pekerjaan yang berkemahiran dan juga berpendapatan tinggi. Usaha kita setakat ini mendapat sambutan.

PKS juga merungut belanjawan kali ini tidak memberi manfaat kepada mereka. Apakah ada program atau pakej khas buat mereka?

Dalam Belanjawan 2021, kita cuba lindungi seramai mungkin golongan terjejas termasuk PKS. PKS kita rasa yang paling penting buat masa ini adalah bantuan aliran tunai. Sebab itu kita bekerjasama dengan bank untuk pastikan dan BNM semalam (kelmarin) ada menyebut sedikit mengenai inisiatif untuk PKS termasuk subsidi upah yang telah diberikan kepada lebih 330,000 syarikat PKS dan memberi peluang untuk mereka mengekalkan pekerjaan lebih kurang 2.6 juta.

Jadi itu semua PKS yang nikmati dan kosnya setakat ini ialah RM12 bilion. Program subsidi upah dilanjutkan dalam Pakej Prihatin selama tiga bulan dan dalam Belanjawan 2021 dilanjutkan pula kepada sektor-sektor yang paling terkesan terutamanya sektor pelancongan dan juga peruncitan. Jadi kalau kita lihat sokongan kepada PKS adalah yang terbesar.

Kerajaan memperuntukkan RM1bilion kepada KKM bagi tangani pandemik Covid-19 tahun depan. Adakah itu mencukupi?

RM1 bilion itu adalah peruntukan dalam Kumpulan Amanah Covid-19 pada tahun 2021 di mana RM31 bilion adalah masih dalam belanjawan untuk tahun depan dan dalam Kumpulan Wang Amanah Covid-19 jika punyai fleksibel untuk menaikkannya. Pada masa ini unjuran dia adalah RM1 bilion.

Dalam ucapan saya, saya ada menyebut bahawa kita akan meningkatkan lagi peruntukan dalam Kumpulan Amanah Covid-19 ini sebanyak RM20 bilion. Sebelum ini kelulusan yang diterima oleh kerajaan adalah sebanyak RM45 bilion.

Jadi siling kita adalah RM45 bilion. Saya dalam ucapan saya buat ‘in case’ hendak naikkan sampai RM20 bilion. RM10 bilion untuk Pakej Prihatin dan lagi RM10 bilion lagi sebenarnya untuk Covid-19 sendiri terutamanya untuk pembelian vaksin.

Sekiranya Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lepas ditolak apa pelan B kerajaan?

Perbahasan mengenai Belanjawan 2021 sudah bermula Isnin lepas dan akan bersambung Isnin ini. Ia akan berakhir pada Khamis depan sebelum penggulungan dimulakan Isnin seterusnya.

Pada asasnya rang undang-undang ini dibentangkan untuk meluluskan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan, iaitu untuk membolehkan pentadbiran kerajaan terus berfungsi dan berkhidmat untuk rakyat secara berkesan.

Contohnya, lebih RM31 bilion untuk KKM di bawah Belanjawan 2021. Ini tidak termasuk RM2.8 bilion yang diperuntukkan untuk KKM juga di bawah Kumpulan Wang Amanah Covid-19 dan juga pelbagai tambahan sumber untuk menangani penularan wabak Covid-19 termasuk juga komitmen RM3 bilion untuk vaksin.

Saya percaya belanjawan ini adalah belanjawan yang fokusnya kepada rakyat, perniagaan dan untuk menjana semula ekonomi kita.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!