Malapetaka bola sepak negara

B Sathianathan
B Sathianathan
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan mengibaratkan industri bola sepak negara bakal berdepan malapetaka selepas kerajaan mengarahkan penangguhan saingan TM Piala Malaysia yang sekali gus membawa kepada pembatalan kejohanan berprestij tersebut.

Menurutnya, ia memberi gambaran nasib industri bola sepak negara terus suram terutama saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan selepas keputusan kerajaan yang dilihat akan terus menangguhkan sukan tersebut sekiranya pandemik Covid-19 ini belum berakhir.

“Untuk bola sepak ini ia seperti malapetaka. Banyak yang akan terjejas dengan keputusan ini. Saya tidak faham kenapa di Eropah yang mempunyai kes Covid-19 yang jauh lebih banyak, tetapi industri bola sepak mereka boleh berjalan dengan baik. Kenapa kita tidak boleh ikut?

“Industri bola sepak ini besar melibatkan periuk nasi ramai orang bukan sahaja pemain dan pasukan malah sesiapa sahaja yang terlibat dengan industri ini. Kita tidak tahu lagi sama ada Liga-M musim depan boleh mula bulan Februari atau bulan Mac tahun depan kerana Covid-19 ini belum habis.

“Jika kerajaan terus tangguhkan lagi, apa akan jadi dengan pemain dan pasukan serta semua orang yang terlibat ini. Mereka sudah tentu akan kehilangan sumber pendapatan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan MKN menolak rayuan rasmi yang dikemukakan MFL kerana berpandangan perlawanan bola sepak yang melibatkan sentuhan antara pemain mampu mengundang bahaya jangkitan Covid-19.

Ia sekali gus menyebabkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terpaksa membuat keputusan untuk membatalkan kejohanan tersebut kerana khuatir bakal berdepan masalah terutamanya berkaitan kos dan kontrak pemain sekiranya ditangguhkan untuk tempoh yang lebih lama.

Mengulas lanjut, beliau turut khuatir penangguhan serta tiada tarikh tepat bila saingan Liga-M musim depan boleh berlangsung akan memberikan kesan terutama kepada pasukan yang mahu mencari penaja musim depan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi syarikat-syarikat besar yang mahu menaja sesebuah pasukan, sudah tentu mereka memerlukan tarikh saingan tersebut boleh berlangsung supaya dapat menyediakan duit untuk penajaan tersebut.

“Jika saingan liga tak tahu bila nak mula, macam mana penaja nak masuk. Ini sudah tentu akan memberikan kesukaran kepada pasukan untuk bayar gaji pemain dan membuat persiapan.

“Malah, MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga akan turut terkesan kerana mereka tidak boleh menjual produk mereka (Liga-M) kepada penaja yang mahu menaja liga,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan kerajaan dapat memikirkan kembali keputusan untuk menangguhkan sebarang aktiviti berkaitan kejohanan bola sepak di negara kita.