Perkemas moratorium bersasar

No Image Caption
A
A
A

TAMPAKNYA, Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank-bank komersial tidak bersetuju dengan cadangan melanjutkan moratorium pinjaman sehingga enam bulan lagi.Ketidaksetujuan itu mudah difahami kerana bank mempunyai tanggungjawab melindungi wang penyimpan. Jika mereka tidak berusaha mendapatkan bayaran ansuran yang dipersetujui, akan wujud risiko kehilangan deposit.

Pada pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan lanjutan moratorium bersasar yang dibuat sejak Oktober lalu.

Namun, pengumuman itu hanya mengambil kira kesusahan golongan bawahan dan sebahagian kumpulan berpendapatan sederhana. Realitinya, masalah ketidakmampuan membayar semula ansuran pinjaman bukan terhad kepada rakyat berpendapatan rendah tetapi juga rakyat berpendapatan sederhana dan tinggi.

Kumpulan paling terkesan dengan kejatuhan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19) adalah kumpulan kelas pertengahan. Mereka yang sebelum ini mempunyai gaji antara RM6,000 sehingga RM15,000 sebulan kini berhadapan pemotongan gaji, kehilangan pendapatan perniagaan dan diberhentikan kerja.

Kebanyakan kumpulan itu merupakan peniaga kecil, eksekutif swasta dan golongan profesional muda. Mereka mungkin ada simpanan untuk sara keluarga, namun tidak lagi mampu bayar pinjaman ansuran.Berbanding kumpulan berpendapatan rendah, kelas pertengahan mempunyai beban hutang yang lebih tinggi. Jika kumpulan itu tidak mendapat pelepasan sewajarnya, kita mungkin melihat keruntuhan kelas pertengahan negara yang akan menjadi domino kepada kemelesetan ekonomi negara.

Pengumuman kerajaan yang hanya memberi fokus kepada pinjaman entiti perniagaan berskala mikro juga perlu diteliti semula. Hari ini, jika pegawai kerajaan turun bertanya kepada peniaga di Lembah Klang, mereka akan tahu banyak restoran, kafe, kedai runcit dan peniaga di kompleks beli-belah tidak lagi mampu membayar sewa premis, malah ada yang telah tertunggak berbulan-bulan dan menunggu masa gulung tikar.

Pemilik premis tidak akan memberi pengurangan dan pengecualian kerana mereka juga perlu membayar hutang bank. Jika keadaan itu berterusan, peniaga akan menutup perniagaan dan menyebabkan sebahagian orang hilang pendapatan serta pekerjaan.

Kemudian, pemilik premis yang membuat pinjaman bernilai jutaan ringgit pula akan berada dalam senarai non performing loan (NPL) dan menunggu masa dirampas oleh bank. Syarikat yang mempunyai pinjaman perniagaan juga tidak akan mampu membayar ansuran pinjaman kerana kemelesetan ekonomi dan berhadapan penutupan.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan mendakwa lebih banyak entiti perniagaan baharu didaftarkan berbanding yang ditutup. Statistik sahaja boleh mengelirukan. Benar, terdapat banyak syarikat baharu ditubuhkan, namun apakah kerajaan meneliti penubuhan itu kerana kewujudan aktiviti ekonomi baharu atau sekadar ditubuhkan bagi mengambil alih perniagaan daripada syarikat sedia ada yang berhadapan banyak hutang?Walaupun ada jaminan daripada Gabenor BNM bahawa semua yang terjejas akibat Covid-19 akan menerima bantuan tetapi ia bukan semudah digambarkan. Bank-bank mempunyai kriteria berbeza menyebabkan sebahagian rakyat dan peniaga kecewa dengan kerajaan.

Justeru, moratorium bersasar memerlukan penilaian semula dari aspek kaedah pelaksanaan bagi memastikan semua orang yang terjejas berhak mendapat bantuan atau penangguhan pembayaran pinjaman.

Pertama, moratarium tidak harus ditetapkan kepada had pinjaman tertentu tetapi perlu mengambil kira kemampuan membayar. Kedua, harus ada mekanisme semak dan imbang oleh kerajaan atas keputusan bank komersial yang menolak permohonan peminjam untuk mendapatkan penangguhan.

Dalam keadaan tidak mahu terlalu menekan bank-bank yang turut terkesan Covid-19, kerajaan juga tidak boleh membiarkan bank bertindak menolak permohonan moratorium tanpa semakan sewajarnya.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)