X

Kindly register in order to view this article
!

17 individu rugi RM481,000 dakwa ditipu syarikat pembinaan

Antara yang hadir ketika laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda hari ini.
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 17 individu dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang mendakwa mengalami kerugian mencecah RM481,000 selepas ditipu sebuah syarikat pembinaan sejak 2017.

Salah seorang daripadanya, Mohd Syafirul Anuar Mohd Nasir, 32, berkata, kesemua mangsa mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap syarikat terbabit yang aktif menjalankan aktiviti pemasaran di laman sosial Facebook dengan menawarkan harga lebih rendah.

Menurutnya, kesemua mangsa membuat pembayaran keseluruhan berjumlah RM520,700 bagi menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian termasuk projek membina rumah baru, namun syarikat terbabit hanya memulangkan sebanyak kira-kira RM39,700 setelah didesak dan masih berhutang sebanyak RM481,000.

"Ada antara mereka membayar RM500 hingga RM98,000. Bagaimanapun, kebanyakan kerja-kerja mereka tidak mencapai tahap yang dipersetujui sehingga menimbulkan tidak puas hati selain terdapat projek yang terbengkalai sehingga ke hari ini.

"Rumah saya di Taman Batik, Sungai Petani masih tidak siap kerana syarikat itu berjanji mahu tukarkan pintu, membina kabinet dapur, hiasan siling, menambah bilik air dan baik pulih tangga dengan kos RM15,601. Bagaimanapun, pemilik syarikat melarikan diri," katanya.

Seorang lagi mangsa, Shuhana Saari, 44, dari Kota Kuala Muda berkata, beliau membuat bayaran dua kali iaitu sebanyak RM40,000 dan RM15,000 kepada syarikat terbabit pada 2018. namun rumah yang dijanjikan tidak dibina.

"Saya tidak puas hati kerana mereka hanya menyusun bata dan tiang sahaja tetapi RM55,000 yang diambil lesap.

"Setakat ini, apabila diminta memulangkan duit, mereka hanya beri RM500 sedangkan saya pula terpaksa mencari wang lain untuk menyiapkan rumah yang terbengkalai," katanya.

Rumah yang dijanjikan untuk proses pengubahsuaian ditinggalkan dalam keadaan terbengkalai.
Rumah yang dijanjikan untuk proses pengubahsuaian ditinggalkan dalam keadaan terbengkalai.

Selain itu, Norizan Ahmad, 55, berkata, beliau kerugian sebanyak RM22,000 apabila rumah yang dijanjikan di Tikam Batu, Kedah membabitkan kos RM76,000 hanya tinggal janji.

"Apabila kami mendesak mahu tularkan kes ni, syarikat hanya membayar semula RM3,800 selepas setahun projek terbengkalai," katanya.

Seorang lagi mangsa dari Pulau Pinang, Siti Hajar Abu Bakar, 38, mengakui kerugian mencecah RM20,000 apabila tertipu dengan tawaran dijanjikan syarikat sama bagi membina sebuah rumah tahun lalu.

"Kami cuba menjejak pemilik syarikat yang beralamat di Tikam Batu dan Taman Sri Wang di Sungai Petani, tetapi kedua-duanya alamat keluarga dan bukan premis perniagaan syarikat berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis menerima kira-kira 10 laporan membabitkan kes syarikat terbabit sepanjang tahun ini.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka dan polis sedang berusaha mengesan suspek.

"Modus operandi mereka ialah dengan mengiklankan perkhidmatan di Facebook dan selepas dipersetujui, mereka meminta deposit dengan alasan mahu membeli barang namun setelah wang diterima mereka menghilangkan diri.

"Saya menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan helah mana-mana syarikat yang memberi tawaran tertentu sebaliknya selidik latar belakang terlebih dahulu sebelum berurusan," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!