Padah ugut, langgar PKPB

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
A
A
A

JITRA - Lima individu yang disyaki ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan membuat ugutan jenayah terhadap sepasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Alor Setar ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 6.15 petang ketika sepasukan anggota JPJ sedang melakukan rondaan sebelum melihat sebuah van putih dinaiki empat individu di KM 1 Jalan Tanah Merah di sini.

Beliau berkata, penguat kuasa JPJ kemudiannya meminta kenderaan terbabit berhenti untuk pemeriksaan namun mereka enggan berbuat demikian menyebabkan penguat kuasa terbabit mengekori van itu.

"Kenderaan terbabit berhenti di hadapan sebuah premis perniagaan di Jitra dan pemeriksaan mendapati pemandu lelaki terbabit tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan, tiada perlindungan insurans. Pemeriksaan Puspakom juga mendapati kenderaan itu telah tamat tempoh," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya, salah seorang penumpang van turun dari kenderaan sebelum membuat provokasi dan ancaman jenayah ketika penguat kuasa terbabit mahu mengeluarkan saman kepada mereka.

"Seorang penguat kuasa JPJ ditolak dan dilontarkan kata-kata jelik sebelum penumpang van berkenaan menunjukkan sejumlah wang dipercayai untuk mengaibkan penjawat awam," katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tiba-tiba datang dipercayai keluar dari sebuah premis berdekatan dengan bersenjatakan sebilah parang dan mengacukan ke arah anggota bertugas lalu memberi kata-kata ugutan yang mengancam nyawa.

Menurutnya, lelaki itu seterusnya bertindak menikam dengan parang ke arah tayar hadapan sebelah kiri kenderaan pasukan JPJ sehingga pecah namun tiada sebarang kecederaan dialami anggota terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka kemudiannya ditahan selepas kejadian berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, 353 Kanun Keseksaan, 427 Kanun Keseksaan,509 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat sentiasa memberikan kerjasama yang sebaiknya kepada semua agensi penguat kuasa yang menjalankan tugas supaya kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.

Mohd Ismail berkata, polis tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan jenayah.