Lelaki lari sekatan, rempuh kenderaan polis ditahan

Suspek berjaya ditahan di sebuah kawasan di Kampung Sungai Siput Hulu di sini kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian semalam. - Foto pembaca, gambar kecil: Omar Bakhtiar Yaacob
Suspek berjaya ditahan di sebuah kawasan di Kampung Sungai Siput Hulu di sini kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian semalam. - Foto pembaca, gambar kecil: Omar Bakhtiar Yaacob
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki ditahan selepas memandu secara berbahaya hingga merempuh dua kenderaan polis dan mencederakan orang awam dalam cubaan melarikan diri dari sekatan jalan raya di Kilometer 1 Jalan Manong-Kuala Kangsar, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 7 malam itu, lelaki berusia 37 tahun yang datang dari arah Manong menuju ke arah Kuala Kangsar telah bertindak memberhentikan keretanya di bahu jalan sebelah kiri dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketika dihampiri anggota bertugas untuk tujuan pemeriksaan, lelaki itu telah mengundurkan keretanya jenis Proton Iswara dan memecut ke arah Taman Highland Park.

"Polis telah mengejar kenderaan suspek dan mengarahkannya untuk berhenti, namun tidak diendahkan dan suspek telah bertindak masuk ke laluan bertentangan hingga merempuh sebuah motosikal ditunggang seorang wanita.

"Selepas pelanggaran itu, suspek tidak berhenti sebaliknya terus memecut laju ke Taman Chandan Putri dan berpusing di kawasan taman berkenaan beberapa kali," katanya.

Menurutnya, polis telah meminta bantuan sebuah lagi kenderaan untuk menghalang kereta itu tetapi suspek terus melanggar bahagian belakang kenderaan polis tersebut dan melarikan diri.

"Suspek berjaya ditahan di sebuah kawasan di Kampung Sungai Siput Hulu, di sini kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek tidak menemui barang salah, hanya kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suspek nekad melarikan diri ke Taman Chandan Putri dan berpusing di kawasan taman berkenaan beberapa kali semalam. - Foto pembaca
Suspek nekad melarikan diri ke Taman Chandan Putri dan berpusing di kawasan taman berkenaan beberapa kali semalam. - Foto pembaca

Beliau berkata, tindakan suspek itu telah mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitshubishi dan Proton Inspira milik polis.

Malah katanya, wanita berusia 25 tahun yang dilanggar suspek turut mengalami patah pergelangan tangan kanan dan luka-luka kecil di bahagian badan.

"Semakan lanjut mendapati, suspek mempunyai satu rekod tangkapan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 pada tahun 2017 dan lapan saman atas pelbagai kesalahan.

"Lelaki terbabit kini ditahan dan permohonan reman akan dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.