X

Kindly register in order to view this article
!

Polis ada bukti dua lelaki dikompaun langgar SOP

Tular kejadian dua remaja lelaki yang dikatakan dikompaun kerana membuka pelitup muka untuk minum. Gambar kanan, bukti bergambar dan video di tempat kejadian jelas menunjukkan dua remaja lelaki terbabit melanggar pematuhan SOP ditetapkan.
A
A

PARIT BUNTAR - Polis nafi bertindak melulu mengeluarkan kompaun terhadap dua penunggang motosikal kerana menanggalkan pelitup muka untuk minum air sepertimana tular semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat sebaliknya berkata, kompaun sebanyak RM1,000 itu dikeluarkan selepas pemerhatian mendapati kedua-dua remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun itu berbual menghadap satu sama lain tanpa memakai pelitup muka dan tidak mematuhi penjarakkan fizikal.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika operasi cegah jenayah dan rondaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Parit Buntar sekitar jam 12 tengah hari pada Selasa lalu.

"Pegawai yang bertugas telah membuat pemerhatian selama 10 minit dan sepanjang tempoh itu, kedua-dua lelaki terbabit masih tidak memakai pelitup muka.

"Kemudian pegawai itu telah datang ke arah mereka dan memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pegawai terbabit telah menjelaskan kesalahan yang dilakukan di bawah Peraturan 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sebelum membawa kedua-duanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan kompaun.

"Polis turut mempunyai bukti bergambar dan video di tempat kejadian dan ia jelas menunjukkan dua lelaki terbabit melanggar pematuhan SOP ditetapkan," katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan dua penunggang motosikal didenda RM1,000 setiap seorang kerana menanggalkan pelitup muka untuk minum air.

Ketika kejadian, mereka dikatakan sedang menunggu rakan telah membeli minuman sebelum menarik pelitup muka ke bahagian dagu untuk minum.

Selesai minum, mereka didapati gagal untuk menarik pelitup muka kembali kepada keadaan asal dan menyebabkan kedua-duanya dikenakan tindakan kompaun.

Laporan yang tular itu mendapat reaksi pelbagai daripada wargamaya yang rata-rata mengecam tindakan pihak berkuasa.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!