RM200,000 satukan komuniti PALMA, penubuhan SBX perluas aktiviti kebajikan

Karnival yang julung kali diadakan di Kampung Paya Baru itu terbuka kepada semua penduduk tanpa mengira fahaman politik dan akan dijadikan acara tahunan.
Karnival yang julung kali diadakan di Kampung Paya Baru itu terbuka kepada semua penduduk tanpa mengira fahaman politik dan akan dijadikan acara tahunan.
A
A
A

TAIPING - Sebanyak RM200,000 wang peribadi diperuntukkan bagi menjayakan Karnival Kita PALMA 2026 yang menghimpunkan lebih 5,000 penduduk di kawasan PALMA, Parlimen Bukit Gantang, di Kampung Paya Baru, Kamunting.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, peruntukan itu merupakan pelaburan sosial bagi memperkukuh semangat kejiranan, kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, karnival yang julung kali diadakan di Kampung Paya Baru itu terbuka kepada semua penduduk tanpa mengira fahaman politik dan akan dijadikan acara tahunan.

“Wang boleh dicari, tetapi nilai kemanusiaan, kepercayaan dan semangat kebersamaan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Karnival Kita PALMA 2026 berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk sarapan pagi bersama komuniti, ziarah kasih dan gotong-royong.

Program turut dimeriahkan dengan pertandingan nasyid, dam haji dan karom, solat berjemaah serta bacaan tahlil di Surau Kampung Paya Baru, selain persembahan artis.

Pada Ahad, lebih 2,500 peserta menyertai acara larian santai atau fun run selepas sesi senamrobik.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan, termasuk pertandingan mewarna, gubahan hiasan, masakan dan sukan, selain penyampaian hadiah bagi pencapaian sukan dan akademik serta anugerah Jasa Mu Dikenang.

Artikel Berkaitan:

Karnival Kita PALMA 2026 berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk sarapan pagi bersama komuniti, ziarah kasih dan gotong-royong.
Karnival Kita PALMA 2026 berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk sarapan pagi bersama komuniti, ziarah kasih dan gotong-royong.

Dalam pada itu, Sollehin mengumumkan penubuhan SBX, sebuah gerakan komuniti yang akan melaksanakan aktiviti sepanjang tahun merangkumi kebajikan, bantuan bencana, pendidikan, sukan, pembangunan belia dan program kemasyarakatan.

Beliau berkata, pelancaran rasmi gerakan itu dijadualkan pada Disember 2026, dengan matlamat memperluas usaha membantu masyarakat dari kawasan PALMA ke seluruh Taiping.

Menurutnya, penubuhan SBX turut mengambil kira keperluan memperkukuh kerjasama antara masyarakat dengan pihak berkuasa, termasuk dalam menyalurkan maklumat berkaitan isu setempat.

Beliau berkata, perkara itu antara lain susulan isu premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian di sekitar Bukit Gantang dan Taiping yang dibangkitkannya bulan lalu.

Katanya, penduduk turut meminta supaya pemantauan berterusan dilaksanakan bagi menangani kegiatan berkenaan.

“Kita mahu masyarakat yang bukan sekadar menunggu bantuan, tetapi tampil membantu,” katanya.

Beliau turut menegaskan golongan muda perlu diberikan peluang memimpin dan memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan komuniti, bukannya sekadar dilibatkan sebagai peserta program.

Mengulas mengenai kemungkinan bertanding dalam pilihan raya, Sollehin berkata, penentuan calon merupakan hak pimpinan parti, namun komitmennya untuk berbakti kepada masyarakat tidak bergantung pada kedudukan politik.

“Politik hanyalah salah satu medan untuk berbakti. Sama ada saya menjadi calon ataupun tidak, saya akan terus bekerja untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, penglibatannya dalam kerja kemasyarakatan bermula sejak berusia 23 tahun menerusi Gerakan Belia Warisan Melayu sebelum aktif dalam politik.

“Jawatan politik ada tempohnya. Tanggungjawab kepada masyarakat tidak ada tarikh luput,” katanya.

Ringkasan

Pengunjung karnival: Lebih 5,000

Peserta Fun Run: Lebih 2,500

Peruntukan peribadi: RM200,000

Pelancaran rasmi SBX: Disember 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!