KKM giat usaha atasi stigma pesakit Covid-19

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan pelbagai usaha bagi mengatasi stigma terhadap pesakit atau bekas pesakit koronavirus (Covid-19) agar fenomena ini tidak menggugat kesejahteraan emosi mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, antara usaha yang dilakukan ialah penyebaran maklumat secara berterusan.

"Slot penerangan di televisyen, radio serta video tentang maklumat penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) serta risiko jangkitan bagi pesakit yang telah sembuh.

"Penerangan ini dilaksanakan bagi memberi kefahaman bahawa risiko jangkitan yang rendah bagi mengelak stigma terhadap pesakit dan keluarga," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai usaha yang telah dilakukan oleh KKM bagi menghapuskan stigma terhadap bekas pesakit Covid-19.

Menurutnya, edaran infografik secara maya turut diedarkan melalui portal KKM serta Facebook KKM agar masyarakat sedar dan cakna bahawa stigma boleh memudaratkan emosi seseorang yang berkenaan.

"Selain itu, Pelaksanaan Perkhidmatan Bantuan Talian Sokongan Psikososial KKM dengan kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi ejen penting memberi penerangan dan pendidikan kepada pemanggil yang memerlukan sokongan emosi akibat kebimbangan jangkitan Covid-19 melalui ahli keluarga atau individu rapat yang telah disahkan positif.

"Sokongan emosi pesakit dan keluarga juga dilakukan di semua fasiliti kesihatan yang merawat pesakit Covid-19 dengan mengadakan sesi kaunseling, intervensi psikologi serta pelbagai terapi ringkas yang lain," katanya.

Artikel Berkaitan: