'Letak syarat jika mahu sokong Belanjawan 2021 tidak munasabah'

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM – Tindakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 oleh segelintir ahli Parlimen dengan menuntut kerajaan membuat pindaan terhadap isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun satu dan pelanjutan moratorium dilihat tidak munasabah.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau bersetuju jika kerajaan perlu mendengar pandangan ahli Parlimen sebelum mengumumkan sebarang polisi.

“Hanya satu isu yang saya tidak bersetuju secara total iaitu meletak syarat kerana kedua-dua perkara itu tiada dalam Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021.

“Saya mungkin boleh setuju, jika ayatnya berbunyi begini, "Saya sokong Bajet ini, dengan syarat, kerajaan umumkan polisi berhubung moratorium dan KWSP sebagaimana cadangan saya," itu kedengaran agak munasabah.

“Tetapi meletak syarat, sokong dengan pindaan, nak pinda di mana? Sebab itu saya kata, meletak syarat ini apa tujuannya? Hasilnya lahirlah syarat Puteri Gunung Ledang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Pinda atau kami tidak akan sokong'

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas berkata, ahli Parlimen sewajarnya berbincang dengan kerajaan.

“Kita juga yang membentuk kerajaan ini. Pas pun banyak perkara tidak setuju, jika nak diungkit. Tetapi membawa ke dewan dan meletak syarat, saya anggap kurang sesuai.

Artikel Berkaitan:

“Ia tidak mengurangkan hormat saya kepada ahli-ahli Parlimen senior. Bagi saya, mereka ada rekod tersendiri mengurus kewangan dan mentadbir, banyak boleh saya belajar.

“Tetapi saya kekal dengan apa yang sebut di Dewan Rakyat. Ia penerangan simple (ringkas). Tapi akan ada ramai yang sengaja tidak mahu faham,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli mahu pelanjutan moratorium dilaksanakan tetapi dilakukan secara bersasar dan permohonan juga dipermudahkan.

“Saya syorkan secara bersasar, agar sampai ke tangan pihak yang benar-benar memerlukan. Setuju atau tidak setuju, kedua-duanya untuk kepentingan rakyat dan ia boleh dibincangkan,” katanya.

Sebenarnya saya sudah ingin landing isu ini, tapi nampaknya masih panjang lagi. Saya hurai sekali lagi secara ringkas...

Posted by Ahmad Fadhli bin Shaari on Wednesday, November 11, 2020