Sidang kemuncak ASEAN: Covid-19 antara tumpuan utama

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula hari ini hingga Ahad, pemimpin serantau akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan antara lain menyaksikan agenda utama pemeteraian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan inisiatif tindak balas Covid-19.

Penandatanganan perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia dijadual pada hari terakhir sidang kemuncak (Ahad), hasil rundingan lapan tahun sejak dilancarkan secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN 2012 di Kemboja.

Selain 10 negara ASEAN, negara lain turut serta dalam RCEP adalah Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Dihoskan Vietnam selaku Pengerusi ASEAN 2020, sidang kemuncak dua kali setahun itu dilangsungkan secara maya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia dari sini.

Turut serta Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sidang kemuncak bertemakan 'Cohesive and Responsive ASEAN' itu dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc.

Diadakan secara maya berikutan pandemik, agenda utama lain termasuk meneliti inisiatif ASEAN dalam tindak balas Covid-19.

Pemimpin ASEAN juga dijangka mengumumkan penubuhan Pusat Serantau ASEAN mengenai Kecemasan Kesihatan Awam dan Kemunculan Penyakit, sebuah projek kerjasama ASEAN-Jepun, mempromosikan kesihatan dan keselamatan awam melalui kawalan dan pencegahan penyakit di peringkat serantau.

Artikel Berkaitan:

Tiga dokumen rasmi penting juga dijadual dilancarkan antaranya Rizab Bekalan Perubatan Serantau ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN.

Turut bakal dibincangkan pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan kajian separuh penggal mengenainya dijangka diadakan hari ini.

Pada akhir sidang kemuncak, Vietnam akan menyerahkan jawatan pengerusi kepada Brunei.

ASEAN, yang ditubuhkan pada 1967, merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.