Prabowo umum rombakan kabinet, lantik ketua baharu agensi pengurusan bencana

JAKARTA - Presiden Indonesia Prabowo Subianto melantik ketua baharu agensi pengurusan bencana negara itu pada Khamis dalam rombakan kabinet ketiga dalam tempoh sebulan, lapor CNA.
Kristomei Sianturi dilantik menggantikan Suharyanto sebagai Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), agensi yang memainkan peranan penting dalam usaha menangani kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatra.
Kristomei ialah seorang pegawai tentera yang sebelum ini memegang jawatan Komandan Komando Resimen Militer Regional Radin Inten sejak Ogos tahun lalu.
Pelantikan itu dibuat ketika Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) menahan lima suspek berhubung kes rasuah perolehan barangan dan perkhidmatan yang dikaitkan dengan dana kesiapsiagaan bencana BNPB.
Salah seorang suspek, Bima Setyawan, merupakan adik kepada Suharyanto yang menerajui BNPB sejak 2021.
Selain itu, Prabowo turut melantik beberapa timbalan menteri baharu melibatkan portfolio pertahanan, pertanian dan imigresen.
Yusuf Jauhari dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan bagi logistik, industri pertahanan dan teknologi, manakala Richard Tampubolon memegang portfolio strategi, doktrin dan pembangunan pasukan.
Alim Setiawan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian, manakala M Maulana Bungaran menjadi Timbalan Menteri Imigresen yang baharu.
Satyawan Pudyatmoko turut dilantik mengetuai agensi pengurusan tanah gambut dan bakau kebangsaan selepas sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Jeneral Pemuliharaan Sumber Asli dan Ekosistem di Kementerian Perhutanan.
Dalam perkembangan berkaitan, Tandyo Budi Revita dilantik sebagai Ketua Staf Angkatan Darat (KSAD) yang baharu menggantikan Maruli Simanjuntak yang kini memegang jawatan Timbalan Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Rombakan itu merupakan rombakan kabinet ketiga dalam tempoh sebulan dan yang kelapan sejak Prabowo mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia pada 20 Okt 2024. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
