Bayi maut sesak nafas dipercayai akibat jerebu di Indonesia

SAMARINDA - Seorang bayi di Kalimantan Timur, Indonesia meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas teruk yang disyaki berpunca daripada pencemaran jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah yang semakin memburuk di wilayah berkenaan.
Menurut laporan iNews pada Khamis, bayi yang berasal dari Kelurahan Bukuan, daerah Palaran, Samarinda itu pada mulanya mengalami kesukaran bernafas sebelum dibawa keluarganya ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Bagaimanapun, keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga pasukan perubatan terpaksa memindahkannya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi membolehkan pemantauan dan rawatan intensif diberikan.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan pasukan doktor, bayi malang berkenaan akhirnya disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Datuk mangsa, Sarno mendakwa pencemaran jerebu yang semakin tebal di kawasan kediaman mereka dipercayai menjadi antara faktor yang menyebabkan cucunya mengalami masalah pernafasan.
"Asap masuk sehingga ke dalam rumah dan menyelubungi kawasan kediaman dengan begitu tebal. Cucu saya terus mengalami sesak nafas," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa pada Khamis.
Menurut keluarga, keadaan jerebu yang semakin serius menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan penduduk, khususnya bayi dan kanak-kanak yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara.
Kejadian itu berlaku ketika kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah Indonesia masih belum dapat dikawal sepenuhnya, menyebabkan asap tebal menyelubungi kawasan penempatan penduduk.
Pencemaran berkenaan turut menjejaskan aktiviti harian masyarakat apabila kualiti udara merosot akibat kebakaran yang berlarutan.
Bagaimanapun, setakat ini, dakwaan bahawa pendedahan kepada asap kebakaran menjadi punca kematian bayi tersebut masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada pihak hospital atau jabatan kesihatan tempatan.
Pemeriksaan dan penilaian perubatan lanjut diperlukan bagi menentukan punca sebenar kematian serta kaitannya dengan pencemaran jerebu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

