Jurulatih 'jaga pandangan' ketika diwawancara wartawan jelita tular

PRAGUE - Seorang jurulatih bola sepak Republik Czech mencuri perhatian apabila rakaman temu bualnya bersama wartawan wanita tular di media sosial selepas beliau dilihat bersungguh-sungguh mengelak daripada memandang wanita berkenaan.
David Oulehla, jurulatih kelab FK Viagem Ústí nad Labem, menunjukkan reaksi luar kebiasaan ketika ditemu bual wartawan sukan, Sabina Jaksova selepas pasukannya tewas 2-3 kepada SFC Opava.
Menurut laporan news.com.au pada Khamis, sepanjang sesi temu bual itu, Oulehla dilihat mendengar soalan dengan teliti, namun pandangannya sentiasa tertumpu ke hadapan atau ke arah lain.
Beliau langsung tidak membuat hubungan mata dengan Jaksova, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi lucu dalam kalangan pengguna media sosial.
Rakaman yang dimuat naik menerusi akaun TikTok kelab berkenaan meraih kira-kira 1.8 juta tontonan meskipun akaun itu mempunyai kurang daripada 30,000 pengikut.
Gelagat jurulatih tersebut turut mengundang pelbagai komen berseloroh daripada peminat yang memuji tahap kawalan dirinya.
"Dia sedang berjuang untuk menyelamatkan diri," seloroh seorang pengguna TikTok.
Seorang lagi pengguna menyifatkan tindakan jurulatih itu sebagai hasil latihan meditasi selama bertahun-tahun.
Malah, ada yang bergurau bahawa tahap kawalan diri Oulehla sangat luar biasa.
Menurut laporan beberapa media sukan Eropah, Oulehla turut dilaporkan memberikan penjelasan secara berseloroh bahawa beliau mahu menjaga keharmonian rumah tangga dan menghormati permintaan isterinya.
Sementara itu, Jaksova sebelum ini mendedahkan beliau menerima tawaran menjadi penyampai daripada pengurusan kelab walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut.
"Saya gembira dan terkejut pada masa sama. Saya memikirkannya seketika sebelum membuat keputusan untuk mencuba," katanya.
Insiden itu mengingatkan peminat kepada gelagat jurulatih Shakhtar Donetsk, Arda Turan yang turut tular tahun lalu selepas dilihat mengelak hubungan mata ketika ditemu bual wartawan wanita, Daria Savina. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
