Lebih sedekad perjuangkan sekolah St Thomas

Fuziah pada sesi dialog di bersama warga sekolah tersebut di SMK Abu Bakar di sini, semalam.
Fuziah pada sesi dialog di bersama warga sekolah tersebut di SMK Abu Bakar di sini, semalam.
A
A
A
KUANTAN – Kegembiraan alumni dan warga sekolah St Thomas turut dirasai Ahli Parlimen Kuantan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang terlibat secara langsung memperjuangkan permohonan bangunan baharu sekolah itu, lebih sedekad ini.

Menurutnya, bahkan perjuangan mendapatkan bangunan sendiri untuk warga Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas tersebut, tidak semudah disangka kerana hampir 13 tahun, akhirnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan jaminan, tender pembinaan akan dibuka, tahun ini.

Menurutnya, beliau mengambil berat terhadap nasib warga St Thomas yang mana pada 2006 pihak Gereja Saint Thomas yang merupakan pemilik tanah di mana sekolah ini dibina, bercadang untuk mengambil kembali tanah tersebut untuk kegunaan pihak gereja.

“Saya sentiasa ambil berat. Saya sendiri tidak setuju sekolah ini pindah melainkan sehingga bangunan baharu siap. Malah ketika itu saya menulis surat supaya kekal di bangunan sedia ada sehingga ada bangunan sendiri.

“Secara jujur saya membawa PIBG dan petisyen PIBG ke Parlimen dan ia ditolak. Apa pun itu dah lepas. Kita syukur dapat terus beri khidmat bakti dan kerajaan PH membawa Timbalan Menteri ke sekolah ini, hari ini. Semoga kita boleh selesaikan hal ini,” katanya pada sesi dialog di bersama warga sekolah tersebut di SMK Abu Bakar di sini, semalam.

Mengimbau kenangannya ketika melawat sekolah tersebut ketika di awal pemindahan menumpang bangunan sekolah lain, beliau menitiskan air mata.

“Terus terang, dulu saya tengok pelajar belajar atas lantai. Saya tak tahan air mata. Kebetulan ketika itu baru lepas hujan, sampai basah. Pada ketika itu ada sesi petang. Saya tahu masalah berlaku ketika itu. Saya lihat dan saya dengar.

“Saya berharap kita ada penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk SMK St Thomas juga terima kasih kepada SMK Abu Bakar yang banyak membantu,” katanya.

Hadir sama pada sesi dialog tersebut ialah, Timbalan Menteri KPM, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Bentong, Wong Tuck; Adun Bilut, Lechin Chen; Adun Teruntum, Sim Chon Siang; Pengetuanya, P Murugan; Yang Dipertua PIBG, Norzaini Mohamad Nor dan wakil alumni, K. Suthakar.

Artikel Berkaitan:

Murugan ketika berucap memberitahu St Thomas mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri kerana merupakan sekolah pilihan golongan diraja di mana Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga bersekolah di situ.

Pada masa ini, SK St Thomas menumpang bangunan di Sekolah Rendah Kebangsaan Teruntum dan SMK St Thomas di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Kuantan.