Belanjawan 2021 vs Penjana

Pelbagai strategi pemulihan pasaran harta tanah Malaysia akibat Covid-19.
Pelbagai strategi pemulihan pasaran harta tanah Malaysia akibat Covid-19.
A
A
A

PENULARAN wabak koronavirus (Covid-19) memberi impak yang sangat drastik kepada ekonomi dunia dan pasaran harta tanah di Malaysia.

Peningkatan kadar penularan wabak Covid-19 memberikan kesan negatif dan penurunan yang sangat ketara kepada jumlah dan nilai transaksi harta tanah yang direkodkan apabila berlakunya pandemik Covid-19 bermula pada bulan Februari 2020 sebagaimana Rajah 1 dan 2.

Bagaimanapun, berlaku pemulihan kepada pasaran harta tanah terutama kepada pelabur atau pembeli yang mempunyai kekuatan dari segi kemampuan kewangan untuk membeli harta tanah dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Rajah 1
Rajah 1

Rajah 2
Rajah 2

Strategi pemulihan pasaran harta tanah Malaysia akibat Covid-19

Artikel Berkaitan:

Bagi merancakkan lagi perkembangan sektor hartanah di Malaysia, antara pendekatan yang diambil oleh pihak kerajaan melalui Bank Negara Malaysia ialah dengan membuat Potongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi pinjaman perumahan.

Penurunan kadar OPR ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada penurunan kos pinjaman dan secara tidak langsung jumlah pembayaran ansuran bulanan juga turut berkurang.

Kadar penurunan OPR yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia telah dibuat secara berperingkat sejak berlakunya peningkatan kadar kes jangkitan Covid-19.

Kadar OPR ini telah diturunkan kepada paras 1.75% (7 Julai 2020 sehingga sekarang) berbanding 3.25% (5 Mac 2019) sebelum ini.

Selain itu insentif penangguhan bayaran ansuran bulanan bagi pinjaman perumahan yang ditawarkan oleh pihak bank melalui pengenalan moratorium selama 6 bulan kepada peminjam yang berkelayakan dijangka dapat meringankan beban peminjam yang terjejas.

Program pemulihan ekonomi

Bagi merancakkan semula sektor hartanah yang terjejas, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Pakej pemulihan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan meliputi (i) pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan pengecualian duti setem bagi pembelian rumah kediaman yang bernilai melebihi RM300,000 hingga RM2.5 juta (terhad kepada RM1 juta pertama), (ii) pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas pelupusan rumah kediaman berkuatkuasa dari 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021 (terhad kepada tiga unit rumah kediaman sahaja) dan (iii) had pembiayaan pinjaman rumah yang ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas, tidak lagi tertakluk kepada 70% daripada nilai rumah semasa tempoh Program HOC, tertakluk kepada pengurusan risiko dalaman institusi kewangan (Kementerian Kewangan Malaysia).

Apa peluang ditawarkan kerajaan?

Sejurus selepas pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Malaysia pada 6 November 2020, pemain yang terlibat dalam industri harta tanah negara cuba mencari peluang yang boleh dimanfaatkan dari pembentangan Belanjawan 2021 tersebut.

Dengan tema Belanjawan 2021: Teguh Kita, Menang Bersama, Penjana menawarkan pelbagai inisiatif yang akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat. Antara kupasan pembentangan tersebut yang akan memberi kesan positif kepada sektor hartanah terutamanya dalam aspek perumahan rakyat seperti berikut:

Inisiatif 1: Pemilikan rumah

  1. Pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama yang bernilai sehingga RM 500,000 bermula 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2025.
  2. Pengecualian duti setem bagi pembelian rumah terbengkalai yang disahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bermula dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2025.

Inisiatif 2: Penyediaan rumah yang selesa dan berkualiti

Inisiatif ini melibatkan peruntukan sejumlah RM 1.2 bilion bagi melaksanakan tujuan berikut:

No Image Caption

Inisiatif 3: Skim Rent-to-Own

Pelaksanaan Program Skim Rent-to-Own dengan kerjasama institusi kewangan terpilih yang melibatkan 5,000 unit PR1MA dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 bilion dan akan dilaksanakan sehingga tahun 2022.

Secara keseluruhan, pembentangan Belanjawan 2021 oleh pihak kerajaan dengan melihat kepada inisiatif yang ditawarkan tidak begitu merangsang pasaran hartanah melainkan untuk membantu pembeli rumah kali pertama bagi memiliki rumah kediaman.

Secara perbandingan, dapat disimpulkan bahawa menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek Penjana adalah langkah yang diambil kerajaan bertujuan untuk merangsang pasaran harta tanah supaya dapat mengharungi saat sukar akibat Covid-19.

Walaupun terdapat peningkatan bagi aktiviti pasaran harta tanah kediaman selari dengan pakej pemulihan yang diperkenalkan kerajaan melalui Penjana dan pembentangan Belanjawan 2021.

Bagaimanapun, pasaran harta tanah cenderung untuk kekal perlahan dan reaksi keadaan pasaran ini bergantung kepada beberapa indikator dari dalam dan luar negara termasuk kestabilan politik, harga minyak dan komoditi global serta perkembangan jumlah kes penularan wabak Covid-19 yang direkodkan di seluruh dunia.

* Ts Siti Hafsah Zulkarnain ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara