X

Kindly register in order to view this article
!

Ujian UPKK calon tahun 2020, 2021 dijalankan serentak

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat ketetapan bahawa Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) untuk lima subjek bertulis bagi calon tahun ini akan dibuat serentak dengan calon UPKK tahun depan pada 4 hingga 7 Oktober 2021.

Lima subjek tersebut adalah Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab dan Lughah al-Quran, manakala mata pelajaran al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah al-Quran, Hafazan dan Tafsir al-Quran akan dilaksanakan pada 1 hingga 30 September 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pembatalan pelaksanaan UPKK pada tahun ini diumumkan ketika kerajaan menguat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi memutuskan rantaian pandemik koronavirus (Covid-19).

“Jakim percaya, pematuhan maksimum kepada prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sekolah KAFA yang telah bermula pada 3 Ogos lalu menunjukkan suasana positif.

“Ia juga sama sekali tidak menjejaskan persediaan dan persiapan calon untuk menduduki ujian tersebut yang dijadualkan pada tahun 2021.

“Calon UPKK tahun ini juga masih mempunyai tempoh setahun lagi sebelum ke sekolah menengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan UPKK kepada calon pada tahun 2021 tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan KAFA.

Zulkifli berkata, jadual pelaksanaan bagi ujian bertulis, amali dan lisan akan dimaklumkan kelak.

“Penjadualan ini bagi membolehkan calon mempunyai tempoh pembelajaran yang mencukupi dan dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan.

“Penilaian berbentuk amali bagi mata pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam, sebarang catatan penilaian sepanjang sesi persekolahan dan sepanjang PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk ujian bulanan, aktiviti dalam dan luar bilik darjah, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh diambil kira sebagai salah satu bentuk penilaian,” katanya.

Jelasnya, Jakim mengambil perhatian harapan ibu bapa terhadap pencapaian pelajar.

“Bagi tujuan ini, pemakluman adalah untuk membantu agensi bertanggungjawab di setiap negeri membuat perancangan, pembelajaran dan persediaan calon,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!