Pencemaran bau: Empat termasuk seorang wanita direman tujuh hari

Empat termasuk seorang wanita ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Selayang hari ini berhubung pencemaran bau bahan pelarut di Sungai Selangor semalam.
Empat termasuk seorang wanita ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Selayang hari ini berhubung pencemaran bau bahan pelarut di Sungai Selangor semalam.
A
A
A
SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Empat termasuk seorang wanita ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung pencemaran bau bahan pelarut di Sungai Selangor semalam.

Wanita berkenaan yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan jalan raya, ditahan bersama seorang lagi pengarah dan dua pekerjanya, yang mana salah seorang adalah warga Bangladesh.

Majistret Nor Hafizah Rajuni mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pihak polis untuk menahan kesemua suspek, bermula hari ini sehingga 17 November.

Mereka yang berusia 33 hingga 43 tahun, direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua suspek ditahan di sekitar Lembah Klang bermula tengah malam semalam.

Katanya, penahanan empat individu itu dibuat untuk membantu siasatan bagi kes kejadian pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor.

Ia susulan kenyataan oleh pihak Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) yang memaklumkan, berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual akibat penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA), ekoran pencemaran di muka sauk LRA Rantau Panjang dikesan pada tahap 8 ton manakala LRA Sungai Selangor bagi Fasa 1,2 dan 3 adalah 4 ton.

Sebelum itu, media melaporkan empat LRA dihenti tugas berikutan pencemaran bau bahan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor.

Artikel Berkaitan:

LRA itu adalah Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan LRA Rantau Panjang yang dihenti tugas jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari ini.

Ini merupakan kejadian ketiga berturut-turut berlaku dalam tempoh tiga bulan bermula September lalu yang mengakibatkan henti tugas di LRA sama.

Semalam, dilaporkan lebih 1.1 juta pengguna akaun melibatkan 1,279 kawasan bakal mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual yang dijangka bermula petang ini susulan penutupan empat LRA.

Kawasan tersebut merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.