X

Kindly register in order to view this article
!

PKIBM dakwa usahawan pendidikan Bumiputera tidak dapat perhatian

Amir Hamzah Md Isa
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2021 dianggap tidak memberi penumpuan jelas terhadap nasib para pelajar di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan usahawan pendidikan Bumiputera.

Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa berkata, ramai pelajar khususnya daripada keluarga B40 menghadapi masalah kewangan dan kekangan internet untuk mengikuti pengajian dalam talian di luar kampus.

Amir Hamzah dalam kenyataannya hari ini juga menyatakan kerajaan tidak memfokuskan tentang insentif khusus kepada pelajar lepasan sekolah yang gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menyambung pengajian di IPTS.

“Pandemik koronavirus (Covid-19) memberi tekanan kepada sosio-ekonomi masyarakat dan banyak keluarga dalam kelompok B40 terjejas teruk menyebabkan ramai ketua keluarga yang terhimpit untuk menyediakan perbelanjaan bagi pendidikan tinggi anak-anak mereka.

“Penurunan mendadak jumlah kemasukan pelajar baharu sehingga 60 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini dan berdasarkan Belanjawan 2021, tiada langsung insentif khusus diberikan kepada IPTS Bumiputera.

“Situasi ini nyata merencatkan usaha kerajaan dalam meningkatkan akses pendidikan tinggi dan menyasarkan sehingga 50 peratus menjelang 2025 berbanding hanya 40 peratus ketika ini,” katanya.

Melihat kepada kemelut yang sedang berlaku, PKIBM menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kewangan mempertimbangkan empat langkah segera bagi membantu pelajar-pelajar IPTS yang terlibat.

“Kerajaan wajar memperluaskan Pakej Pelan Data dan Peranti daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pelajar-pelajar di IPTS selain menyediakan dana khas RM50 sebulan bagi pelajar dari keluarga B40 selama 12 bulan bagi tujuan pembelian data telefon mudah alih untuk pembelajaran secara dalam talian.

“Pada masa sama, kerajaan perlu mengembalikan semula kadar asal pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar peringkat diploma iaitu RM4,000 untuk satu semester dan menyegerakan insentif wang pendahuluan kepada pelajar IPTS yang ketika ini hanya dinikmati oleh pelajar di IPTA.

“Selain itu, kerajaan juga dimohon mengembalikan kemudahan pinjaman pelajaran MARA kepada pelajar yang mengikuti program-program kritikal peringkat diploma di IPTS Bumiputera ahli PKIBM,” katanya.

Mengulas tentang survival usahawan pendidikan Bumiputera, Amir Hamzah menggesa kerajaan memudahkan IPTS Bumiputera untuk mendapat akses kepada beberapa inisiatif khas melibatkan dana Pemerkasaan Usahawan Bumiputera sebanyak RM4.6 bilion yang diumumkan.

“Kerajaan juga digesa melibatkan semua 46 buah IPTS PKIBM milikan penuh Bumiputera dalam pelaksanaan inisiatif untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan UiTM bagi menjalankan program khusus termasuklah pendigitalan pembelajaran TVET melibatkan peruntukan sejumlah RM6.5 bilion.

“Selain itu, kita menggesa semua IPTS Bumiputera bertaraf kolej dan kolej universiti yang berkelayakan diberi peluang dalam pelaksanaan inisiatif program Kementerian Pengajian Tinggi persijilan profesional (KPT-PACE) melibatkan peruntukan RM150 juta,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!