BPR beri manfaat kepada 8.1 juta rakyat

Johan Mahmood Merican
Johan Mahmood Merican
A
A
A

PERUNTUKAN untuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang dahulunya dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk tahun 2021 mungkin akan ditambah sekiranya terdapat pertambahan jumlah permohonan untuk bantuan tersebut.

Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican berkata, ia bersandarkan kepada beberapa penambahbaikan bagi program BPR itu berbanding bantuan sebelum ini.

Menurutnya, antara penambahbaikan ketara yang dibuat menerusi BPR ialah kategori umur penerima bujang diturunkan kepada 21 tahun dan ke atas berbanding 40 tahun ke atas serta purata pendapatan yang dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM2,500.

"Penambahbaikan juga turut dilaksanakan bagi isi rumah di mana sebelum ini bantuan hanya diberikan kepada purata gaji RM4,000 dan kini dinaikkan kepada RM5,000.

“Kenaikan dari segi julat gaji (isi rumah) yang layak menerima BPR mengambil kira dari segi kaji selidik isi rumah tahun 2019 membabitkan golongan B40 atau berpendapatan rendah adalah hampir ke tahap RM5,000,” katanya pada sidang media khas di Wisma Bernama di sini semalam.

Katanya, penambabaikan membabitkan kategori bujang yang diturunkan kepada 21 tahun dan ke atas berbanding 40 tahun dan ke atas itu dibuat dengan mengambil kira cabaran ekonomi semasa.

"Menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diperkenalkan ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, golongan bujang berusia 21 tahun dan ke atas menikmati bantuan seperti diumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tetapi ia dihapuskan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019.

"Bagaimanapun, pada tahun 2020 bantuan kepada golongan bujang dikembalikan tetapi hanya mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Johan berkata, mengambil kira keadaan semasa ekonomi sedang dilanda krisis Covid-19 dan isu aliran tunai, cabaran kos sara hidup yang dialami semua bukan hanya isi rumah tapi juga golongan bujang.

“Kerajaan mengambil keputusan bahawa wajar supaya BPR yang kini menggantikan BSH ditambah baik bagi memastikan ia dimiliki (bantuan diberi kepada) golongan bujang berusia 21 tahun ke atas,” katanya.

Menurutnya, tarikh pembukaan permohonan kepada penerima baharu akan dibuka pada awal tahun depan atau selewat-lewatnya hujung Januari 2021.

“Memandangkan kategori penerima diperluaskan, bagi mereka yang sudah ada dalam pangkalan data (penerima sedia ada) akan diteruskan.

“Bagi mereka yang layak tetapi belum berdaftar, pihak Kementerian Kewangan bercadang membuka untuk pendaftaran permohonan baharu pada awal tahun depan atau dijangka sebelum hujung Januari,” katanya.

Menyentuh mengenai cara pembayaran, Johan berkata, pembayaran akan dibuat secara ansuran sebanyak dua kali.

“Bagi tahun 2020 ia dibuat dalam tiga kali ansuran manakala untuk tahun depan ia dibuat sebanyak dua kali dan ia akan dibayar sebelum hari raya,” katanya.

Terdahulu, kerajaan PN memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi mengurangkan beban aliran tunai rakyat yang terkesan ekoran Covid-19.

Bagi tahun 2020, BPN dan BSH melibatkan penyaluran sebanyak RM21 bilion kepada 10.6 juta penerima di Malaysia dan bayaran BPN 2021 fasa kedua sebanyak RM2.2 bilion akan disalurkan pada bulan Januari 2021.

Selaras dengan itu, kerajaan akan terus melaksanakan dan menambah baik bantuan tunai secara bersasar dalam Belanjawan 2021.

Justeru, bagi tahun 2021, kerajaan akan menggantikan BSH kepada BPR dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan yang lebih baik.