X

Kindly register in order to view this article
!

Nahas helikopter: Keluarga Mohamed Sabri reda

Jenazah mangsa helikopter terhempas di Taman Melawati, Allahyarham Mohamed Sabri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Batu Caves, hari ini. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A

BATU CAVES - Seluruh keluarga reda dengan pemergian Komander (B) Mohamed Sabri Baharom, 56, yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL Karak (Taman Selasih), di sini selepas disembahyangkan di Masjid Khalid Al Walid, Jalan Padang Tembak, selepas solat Zuhur tadi.

Turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi dan Strategi, Laksamana Datuk Roslan Mohd Yunus dan Ketua Staf Sumber Manusia, Laksamana Muda Datuk Abu Bakar Mohd Ajis dan Panglima Udara TLDM, Laksamana Pertama Ahmad Shafiruddin Abu Bakar.

Talkin dibacakan Pegawai Staf 1 Agama, Markas TLDM Leftenan Kolonel Abdul Jabbar Yusof.

Adik Allahyarham iaitu Mohd Farris Baharon, 40, berkata, ahli keluarganya reda dengan pemergian Allahyarham dalam nahas helikopter, semalam.

Katanya, mereka mengenang minat Allahyarham terhadap bidang penerbangan sejak sekian lama.

“Biarpun selepas bersara, arwah tetap meneruskan minatnya itu, malah dia sentiasa berkongsi ilmu penerbangan di laman sosialnya.

“Arwah abang sempat jaga ibu, dia seorang yang pendiam tetapi dia pandai ambil hati ibu,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam di sini.

Ibu kepada Allahyarham Komander (B) Mohd Sabri Baharon, Intan Omar, menyiram pusara anaknya di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL Karak (Taman Selasih), Batu Caves hari ini. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Ibu kepada Allahyarham Komander (B) Mohd Sabri Baharon, Intan Omar, menyiram pusara anaknya di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL Karak (Taman Selasih), Batu Caves hari ini. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Mohd Farris berkata, Allahyarham Mohamed Sabri yang lebih dikenali sebagai Angah berkhidmat dalam TLDM selama lebih 20 tahun, masih bujang dan tinggal bersama ibu, Intan Omar, yang berusia 76 tahun.

Dalam pada itu, Mohd Farris juga mengucapkan terima kasih kepada TLDM di atas penghormatan yang diberi kepada Allahyarham abangnya.

Dia turut menghargai doa serta ucapan takziah daripada semua penduduk di seluruh negara.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!