Perak akan ada River Cruise di Manjung

Ahmad Faizal mengecat Pasar Awam Beruas sempena lawatannya merasmikan Dataran Beruas, di sini, hari ini.
Ahmad Faizal mengecat Pasar Awam Beruas sempena lawatannya merasmikan Dataran Beruas, di sini, hari ini.
A
A
A

BERUAS - Kerajaan Negeri Perak, bakal menyediakan perkhidmatan bot pelancongan River Cruise menyusuri Sungai Dinding dalam merancakkan lagi industri pelancongan di Daerah Manjung.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri dalam perancangan untuk bekerjasama dengan syarikat swasta yang berminat melabur membangunkan River Cruise di daerah tersebut.

"Kami mendapati River Cruise ini amat sesuai untuk dibuat di Sungai Dinding, tapi pada masa sama, kerajaan negeri tidak mahu membelanjakan sejumlah wang yang besar, untuk sesuatu perkara yang bawa pulangan agak panjang.

“Justeru itu, kira akan berusaha mendapatkan kerjasama pihak swasta dan menyeru dan menjemput mereka berhubung dengan Pejabat Daerah Manjung atau kerajaan negeri untuk memajukan River Cruise secara bersama," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Dataran Beruas, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri sentiasa menyokong segala pelan yang dirancang pejabat Daerah Manjung dalam merancakkan ekonomi setempat selain berupaya menjadi penjana ekonomi terbesar di Perak.

“Manjung merupakan daerah yang luas dan mempunyai kawasan sesuai untuk sektor tanaman dan industri pelancongan, semuanya dalam satu daerah.

“Saya akan sentiasa memberi sokongan dan bekerjasama dengan lebih rapat dengan pejabat daerah Manjung bagi memastikan segala perancangan dapat dicapai secepat mungkin dan yakin ia akan disambut baik masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, perkhidmatan itu akan diuruskan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dengan menyediakan pelbagai infrastruktur di lokasi-lokasi terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Perkhidmatan River Cruise ini akan bermula dari Jeti Lumut Waterfront dan melibatkan empat hentian iaitu di Kampung Sitiawan, Kampung Bharu, Kampung Teluk dan Kampung Telaga Nenas sebelum berakhir di Kampung Beting Luas di Changkat Kruing.

“Kita merancang untuk membuat baik pulih di setiap kampung yang terlibat bagi mencantikkan dan memastikan keselamatan pengunjung sentiasa diutamakan di mana perjalanan menyelusuri Sungai Dinding itu dijangka mengambil masa selama satu jam sehala," katanya.