'Sayu baca pesanan terakhir bapa arwah Mohd Irfan'

Nahas helikopter yang mengorbankan dua nyawa di Taman Melawati, Ampang, Kuala Lumpur semalam. Gambar kecil:
Allahyarham Mohd Irfan bersama bapanya.
Nahas helikopter yang mengorbankan dua nyawa di Taman Melawati, Ampang, Kuala Lumpur semalam. Gambar kecil: Allahyarham Mohd Irfan bersama bapanya.
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood menerima berita nahas helikopter terhempas yang mengorbankan dua nyawa di Taman Melawati, Ampang, Kuala Lumpur ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini semalam.

Ahmad Fathan berkata, salah seorang daripada dua mangsa yang maut dalam insiden tragis itu membabitkan anak mukimnya iaitu Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, beralamat di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Katanya, Allahyarham adalah anak kepada individu yang sangat beliau kenali iaitu cikgu Rawi atau Mohamed Rawi Che Muda.

“Saya menerima berita yang mengejutkan negara ketika berada dalam sesi perbahasan Belanjawan 2021 DUN Kelantan tadi (semalam). Kemudiannya baru mendapat maklum, rupanya yang terlibat dalam nahas ialah anak kepada cikgu Rawi yang saya cukup kenal di sini.

“Mohd Irfan Fikri meninggal dunia dalam kejadian tersebut. Sejam yang lalu juga, saya dimaklumkan, jenazah berada di hospital untuk bedah siasat,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

Ahmad Fathan Mahmood
Ahmad Fathan Mahmood

Kemalangan tersebut membabitkan dua helikopter jenis G2CA, 9M-HCA dan 9MHCB ketika kedua-duanya sedang melakukan latihan penerbangan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor dengan setiap pesawat membawa dua kru.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kami kenal jam arwah pakai'

Artikel Berkaitan:

BSKU mulakan siasatan nahas helikopter: MOT

Helikopter terhempas: Dua maut termasuk bekas tentera laut

Seorang lagi mangsa yang maut ialah seorang bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohamed Sabri Baharom, 56, beralamat di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

Dua yang terselamat dalam kejadian itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51, yang menaiki helikopter model 9M-HCA selepas berjaya melakukan pendaratan cemas di kawasan berdekatan.

Ahmad Fathan turut sayu dan tersentuh hati membaca tangkap layar perbualan terakhir antara Cikgu Rawi dan Irfan beberapa jam sebelum kejadian dan menzahirkan takziah kepada keluarga kedua-dua Allahyarham.

“Semoga ALLAH memperbanyakkan pahala ahli keluarga Mohd Irfan dan cikgu Rawi serta mengampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Terdahulu, sehari sebelum nahas, bapa arwah pelatih penerbangan tersebut sempat menitipkan pesanan di ruangan komen status Facebook Mohd Irfan Fikri meminta anaknya itu supaya lebih berhati-hati mengemudi helikopter berikutan cuaca yang tidak menentu.

Menerusi status itu, Mohd Irfan juga dilihat membalas komen Mohamed Rawi.

“Bawak molek heli tu (bawa helikopter dengan baik). Loni (sekarang) musim angin ribut,” tulisnya.

“InsyaALLAH,” balas Mohd Irfan kepada pesanan bapanya itu.

ARTIKEL BERKAITAN Helikopter terhempas: "Saya cam adik saya"