AS perlu kaji semula dasar pro-Israel: ABIM

Joe Biden digesa mengkaji semula dasar luar negara itu terutama yang memihak rejim Zionis menerusi pelan dipelopori Donald Trump sebelum ini. - Foto EPA (Gambar kecil: Muhammad Faisal Abdul Aziz)
Joe Biden digesa mengkaji semula dasar luar negara itu terutama yang memihak rejim Zionis menerusi pelan dipelopori Donald Trump sebelum ini. - Foto EPA (Gambar kecil: Muhammad Faisal Abdul Aziz)
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 digesa mengkaji semula dasar luar negara itu terutama yang memihak rejim Zionis menerusi pelan dipelopori Donald Trump sebelum ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, sebagai contoh program seperti Deal of Century bukan sahaja bercanggah dengan prinsip keadilan, malah bertentangan dengan Rosolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 yang menjelaskan pengharaman pendudukan Israel di tanah Palestin.

“Justeru, AS dialu-alukan untuk mengambil inisiatif membawa proses damai di benua Arab, namun wajib mengambil kira hak dan suara rakyat Palestin.

“Dalam pada itu, AS juga harus menghormati seluruh pihak dengan mengutamakan kerjasama dan libat urus untuk bersama membangun masyarakat dunia atas nama persaudaraan manusia,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, dalam soal kepelbagaian agama dan kaum, ABIM menggesa kepimpinan baharu AS untuk menghentikan sebarang dasar yang bersifat menindas kaum minoriti terutama umat Islam, kelompok berwarna, dan pelarian yang sering berlaku atas alasan retorik Islamophobia serta Xenophobia.

“Ia termasuk hak warga miskin dan pelarian-pelarian politik yang ditahan dan dibuang dari AS.

“Justeru, masih terlalu awal untuk ABIM mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu AS sehinggalah mereka merealisasikan perubahan terutama dalam meraikan hak asasi kepelbagaian agama, bangsa di AS dan menjalankan dasar luar yang lebih progresif serta adil,” katanya.

Calon Demokrat, Joe Biden menang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 dengan memperolehi 284 undi elektoral, manakala pencabarnya, Donald Trump daripada parti Republikan hanya meraih 214 undi elektoral.

Artikel Berkaitan: