Trump jadi presiden cuma satu penggal

Trump jadi presiden cuma satu penggal selepas kalah dengan Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020.
Trump jadi presiden cuma satu penggal selepas kalah dengan Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020.
A
A
A

SELAMAT datang ke ‘kelab satu penggal’! Donald Trump kini tersenarai sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang gagal dalam pemilihan semula, susulan kekalahannya kepada Joe Biden pada Pilihan Raya AS 2020.

Sejak Perang Dunia Kedua, hanya dua presiden yang gagal dalam percubaan mereka untuk kekal berkuasa bagi penggal kedua berturut-turut. Mereka ialah Jimmy Carter dan George HW Bush.

Awal pagi semalam, rangkaian televisyen AS mengumumkan perlumbaan ke Rumah Putih tamat selepas Biden meraih sebanyak 290 undi elektoral mengatasi Trump yang sekadar mencatat sebanyak 214 undi.

Apa pun, kekalahan Trump sudah diramal kerana tindak balasnya terhadap isu perkauman yang memuncak di Amerika dan polisi luar negara sejak memegang tampuk pemerintahan pada 20 Januari 2017.

Tambahan pula, sepanjang pentadbirannya, Trump tidak dapat lari daripada bayangan imej selebriti berbanding imej pemimpin yang sejati.

Lebih teruk lagi apabila Trump muncul sebagai Presiden pertama yang tidak melepasi 50 peratus dalam tinjauan tahunan Gallup.

Pentadbirannya selama hampir empat tahun juga dianggap huru-hara disebabkan cara beliau menangani pandemik koronavirus (Covid-19), retorik basi dan skandal peribadinya yang berterusan.

Keengganan Trump untuk menerima kewujudan idea perkauman bersistem dan sebaliknya memilih kempen untuk menutup sejarah penindasan kaum pada masa lalu secara langsung menyemarakkan lagi semangat perkauman.

Artikel Berkaitan:

Imej pihak berkuasa dan tentera yang menyerang serta memukul penunjuk perasaan aman ketika protes ‘Black Lives Matters’ sudah menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat negara itu.

Tamparan hebat

Sebelum ini, Biden dalam kempennya ketika ditanya mengenai isu berkenaan hanya menggeleng kepala dan berkata, “Itu bukan kita yang sebenarnya.”

Apa pun, Trump mempunyai alasan yang kukuh untuk meroyan kerana mendakwa pemilihan kali ini dicemari oleh skandal penipuan undi.

Trump turut menuduh Demokrat menggunakan undi tidak sah untuk mencuri kemenangan daripadanya meskipun gagal mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Kekalahan tersebut sudah semestinya menjadi tamparan hebat kepada Trump kerana beliau bercita-cita tinggi untuk terus menjadi lelaki paling berkuasa di dunia.

Keinginan tinggi Trump terserlah selepas beliau mengumumkan kemenangannya di Twitter.

Menerusi kenyataan di Twitter, Trump berkata, “Kita menang besar, namun mereka cuba mencuri pilhan raya. Kita tidak akan biarkan. Undi tidak boleh dilakukan selepas ditutup!”

Trump dirakam bermain golf di padang golf miliknya di Virginia ketika Biden diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden AS.
Trump dirakam bermain golf di padang golf miliknya di Virginia ketika Biden diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden AS.

Bagaimanapun, status berkenaan mendapat perhatian Twitter yang berkata, kandungannya tidak tepat kerana keputusan diberikan tidak lengkap.

Apa yang lebih memalukan adalah beberapa jam sebelum keputusan tidak rasmi diumumkan, Trump memberi amaran kepada Biden supaya tidak terlalu yakin untuk menawan Rumah Putih.

Trump mendakwa Biden melakukan kesalahan apabila menuntut kemenangan sebelum masanya.

Menariknya, kemenangan Biden, 77, menjadikan beliau sebagai Presiden paling tua dalam sejarah AS, namun pemilihan Biden dianggap tepat berdasarkan karier politiknya yang panjang iaitu sejak tahun 1970-an lagi.

Dengan kempen bertemakan A Battle for the Soul of the Nation, beliau berjanji untuk mengembalikan demokrasi dan berikrar menjadi presiden kepada semua rakyat AS.

Sementara itu, gandingan Biden, Kamala Harris turut mencipta sejarah tersendiri apabila muncul wanita pertama dilantik sebagai Naib Presiden AS.

**Afdah Mujap ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Meja Global