'Jangan ganggu buaya itu'

Buaya tembaga yang ditemui penduduk di parit besar di Sungai Isap Jaya. - Foto Fb milik Daniell Haziq
Buaya tembaga yang ditemui penduduk di parit besar di Sungai Isap Jaya. - Foto Fb milik Daniell Haziq
A
A
A

KUANTAN - Penduduk setempat dinasihatkan tidak menghampiri atau mengganggu buaya yang ditemui dalam sebuah parit besar berdekatan Taman Perumahan di Sungai Isap Jaya, di sini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin memberitahu, reptilia ditemui penduduk itu berada dalam parit tersebut susulan kenaikan paras air dalam parit berikutan air pasang.

"Pegawai Perhilitan daerah sudah meninjau tempat berkenaan hari ini untuk melihat buaya yang didakwa berada di situ sebelum sebarang tindakan dibuat dalam masa terdekat.

"Buaya memang ada di Sungai Pahang tapi bukan semua anak sungai boleh dimasuki buaya. Tetapi memandangkan parit besar di Sungai Isap Jaya bersambung dengan Sungai Belat, ia sememangnya menjadi habitat buaya," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini

Tular dalam laman sosial Facebook kelibat seekor buaya di parit besar di Sungai Isap Jaya, kelmarin.
Tular dalam laman sosial Facebook kelibat seekor buaya di parit besar di Sungai Isap Jaya, kelmarin.

Kelmarin tular satu video memaparkan seekor buaya dipercayai spesies tembaga ditemui penduduk dalam parit besar di Sungai Isap Jaya hingga mendatangkan kerisauan kepada penduduk jika berlaku perkara tidak diingini berlaku.

Mereka meminta pihak bertanggungjawab segera mengambil tindakan berhubung kehadiran buaya berkenaan.

Rozidan menegaskan kepada penduduk setempat supaya tidak menghampiri parit besar tersebut apatah lagi mengganggu buaya itu.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk di kawasan Sungai Isap Jaya diingatkan supaya tidak menghampiri lokasi tempat buaya terbabit ditemui bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Pihak kita juga memasang papan tanda amaran di beberapa lokasi sepanjang Sungai Belat bagi memastikan penduduk setempat dan pemancing berhati-hati serta tidak berada di kawasan berkenaan," katanya.