Medan Selera Tanjung Bungah terbakar

Medan Selera Tanjung Bungah terbakar dalam kejadian pagi tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Medan Selera Tanjung Bungah terbakar dalam kejadian pagi tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
A
A
A

GEORGETOWN - Medan Selera Tanjung Bungah yang terletak di Jalan Sungai Kerian di sini terbakar dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Mohd Rizuan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.19 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian melibatkan kedai makanan jenis terbuka kelas B.

"Ketika tiba di lokasi, kita mendapati kebakaran melibatkan kedai makanan jenis terbuka iaitu medan selera.

"Anggaran peratusan kemusnahan adalah 70 peratus yang mana api berjaya dikawal pada jam 10.50 pagi. Kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Beliau berkata, kerja pemadaman masih dijalankan dengan bantuan anggota dari BBP Jalan Perak dan Bayan Baru.

"Jumlah kerugian masih belum diperoleh dan punca kebakaran sedang disiasat," katanya.

Medan selera tersebut menjadi tumpuan pelancong terutamanya dari luar negara susulan terdapat kira-kira 30 buah gerai yang menyediakan pelbagai jenis masakan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ia terletak berdekatan kawasan hotel dan di kelilingi oleh deretan rumah kedai.