Chin Hock suka buat kebajikan

Chin Hock menziarahi Hamed di rumahnya di pekan Yan.
Chin Hock menziarahi Hamed di rumahnya di pekan Yan.
A
A
A

SEORANG tukang gunting rambut berbangsa Cina di pekan Yan di sini menjadikan amalan menderma sebagai hobinya sejak zaman muda lagi.

Lo Chin Hock, 72, berkata, setiap sumbangan yang dilakukan itu bukan berniat mahu menunjuk-nunjuk kepada masyarakat, sebaliknya ia adalah kepuasan untuk dirinya.

Chin Hock
Chin Hock

Menurutnya, menjadi rutin setiap pagi beliau membeli makanan untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan di sekitar pekan berkenaan.

“Bangun sahaja tidur, sebelum saya sarapan pagi, saya pergi beli beberapa bungkus nasi lemak untuk diberikan kepada mereka yang tidak boleh berjalan dan sakit terlantar.

“Pada sebelah petang, saya pergi lagi sekali untuk lihat ada atau tidak makanan untuk mereka makan pada waktu malam. Kalau sudah ada, saya balik dan esok pagi saya pergi semula.

“Mereka bukan orang lain, kawan-kawan saya juga. Saya seronok boleh bantu orang sebab rasa satu kepuasan kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Chin Hock berkata, rutin hariannya itu turut disertai isterinya, Tan Siew Lan, 70, yang setia menyokong usahanya itu.

Artikel Berkaitan:

“Selalunya isteri saya akan ikut pada waktu petang. Selain memberi makanan, isteri saya juga akan membantu membersihkan halaman rumah atau pinggan mangkuk yang kotor di rumah mereka.

Siew Lan
Siew Lan

“Saya juga beruntung kerana minat saya mendapat sokongan anak perempuan, Lo Ya Yeing, 38, yang tinggal di Pulau Pinang.

“Walaupun dia tidak tinggal bersama kami di sini tetapi dia sering mengirimkan wang untuk membantu saya,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau selalu bercerita kepada anak perempuannya itu mengenai perkembangan rakan-rakan yang dilawatinya setiap hari.

Katanya, jika ada yang memerlukan bantuan membaiki bumbung rumah misalnya, anak perempuannya dengan rela hati mahu menyumbang untuk membantu mereka.

Dugaan

Dalam pada itu, Chin Hock yang fasih berbahasa Melayu mengakui, dalam berbuat kebaikan pasti ada dugaan dan cabaran apabila terdapat segelintir pihak yang kurang senang dengan tindakannya.

“Ada yang memfitnah mengatakan saya masak sendiri makanan yang saya hantar kepada kawan-kawan Islam, sedangkan semua makanan tersebut saya beli dari kedai makan di sekitar pekan Yan.

“Namun, saya tidak ambil hati dengan kata-kata tersebut. Bagi saya, setiap perkara baik yang kita lakukan mesti ada dugaannya. Kita tidak boleh nak puaskan hati semua orang.

Siew Lan (kanan) menemani suaminya di kedai gunting milik mereka yang terletak di hadapan rumah setiap petang sebelum keluar memberi makanan kepada penduduk kampung.
Siew Lan (kanan) menemani suaminya di kedai gunting milik mereka yang terletak di hadapan rumah setiap petang sebelum keluar memberi makanan kepada penduduk kampung.

“Saya membesar di sini dan mempunyai ramai kawan beragama Islam, malah hubungan kami sangat rapat. Hanya mereka yang benar-benar mengenali saya akan tahu saya ini orangnya bagaimana,” katanya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ah Hock berkata, sebagai orang yang sudah berusia, dia sering menasihati anak muda supaya sentiasa berbuat kebaikan dalam kehidupan.

“Sesiapa sahaja yang saya jumpa, saya akan pesan perkara sama yang saya amalkan iaitu setiap pagi sebaik sahaja bangun tidur, niatkan satu benda baik untuk kita lakukan.

“Hendak berbuat kebaikan tidak perlu tunggu sudah kaya-raya. Nampak budak-budak nak pergi sekolah, beli kuih sebiji dua dan beri kepada mereka.

“Apabila boleh buat kebajikan macam tu, balik rumah hati kita rasa seronok, tenang dan tidur pun lena. Esok pagi bangun buat lagi perkara yang sama.

“Berdasarkan pengalaman saya, apabila hari-hari kita buat, lama-lama ia akan jadi amalan. Kita akan rasa itulah amalan yang paling seronok dalam hidup kita,” kata bapa kepada tiga orang anak ini.

Chin Hock bersama isterinya akan menziarahi kawan-kawan di sekitar pekan Yan sambil membawa makanan untuk diberikan kepada mereka.
Chin Hock bersama isterinya akan menziarahi kawan-kawan di sekitar pekan Yan sambil membawa makanan untuk diberikan kepada mereka.

Sementara itu, seorang penduduk di pekan Yan, Hamed Jab, 87, berkata, Chin Hock sering datang menziarahinya di rumah dan membawa makanan.

“Walaupun anak-anak saya ada datang jenguk tetapi dia akan datang juga bersama isterinya.

“Kadang-kadang dia datang tanya dulu ada teringin nak makan apa-apa sebab dia nak pergi beli.

“Kalau dia tengok anak saya sudah beri makan, dia datang tanya khabar, lepas itu dia balik. Kami sudah lama kenal. Kami berkawan sejak zaman budak-budak lagi,” kata Hamed.