KBS sambut baik kerajaan beri tumpuan pembangunan sukan

Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik usaha kerajaan untuk membangun dan memulih ekosistem sukan pasca pandemik Covid-19 sebagaimana yang diumumkan sempena Belanjawan 2021 hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, usaha berkenaan secara keseluruhannya dilihat diberikan perhatian yang wajar dalam soal pembangunan sukan di negara ini.

“Saya ucapkan terima kasih kerana sebanyak RM103 juta telah disediakan untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan seluruh negara.

“Selain itu RM55 juta disediakan bagi program pembangunan sukan dan RM20 juta disediakan sebagai pinjaman mudah di bawah skim TEKUN Sukan untuk memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan.

“Ini adalah komitmen yang telah saya berikan untuk membantu pemain industri sukan dalam lawatan turun padang saya baru-baru ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu semasa pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM19 juta bagi melaksanakan Agenda Nasional Malaysia Sihat bertujuan memantapkan amalan gaya hidup sihat demi mengurangkan risiko menghidapi penyakit diabetes, hipertensi dan obesiti.

Selain itu, sebanyak RM28 juta juga disediakan bagi melaksanakan program MyFit, Hari Sukan Negara dan Program Inspire bagi komuniti orang kurang upaya (OKU).

Malah katanya, bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM55 juta untuk program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita termasuk RM15 juta kepada pembangunan e-sukan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam kenyataan sama, Reezal Merican turut menyambut baik had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup yang dinaikkan sebanyak RM500 daripada RM2,500 kepada RM3,000.

Katanya, kenaikan berkenaan akan digunakan khusus bagi tujuan perbelanjaan berkaitan sukan termasuk bayaran menyertai pertandingan sukan dan juga langganan surat khabar elektronik.