Pemandu Perodua Alza lawan arus direman tiga hari

Laporan Sinar Harian kelmarin.
Laporan Sinar Harian kelmarin.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Pemandu sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu secara melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sekitar Hentian Rehat Senawang direman tiga hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, suspek telah ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk memberi keterangan pada Selasa lalu.

"Hasil risikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban telah berjaya mengesan suspek yang telah datang bersama penumpang dengan menaiki kenderaan yang dipandu ketika kejadian.

"Hasil siasatan mendapati ketika kejadian suspek bersama seorang penumpang bergerak dari arah Johor Bharu menuju ke Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, apabila tiba di kawasan Hentian Rehat Senawang, suspek telah terputus hubungan dengan rakan yang menunggang motosikal yang bergerak bersamanya.

Beliau berkata, suspek kemudian telah bertindak membuat pusingan U di lebuh raya tersebut dan memandu di lorong kecemasan sehingga ke susur Tol Pedas-Linggi arah utara untuk mengesan penunggang berkenaan.

"Permohonan reman terhadap suspek pemandu dibenarkan selama tiga hari bermula semalam (4 Oktober) manakala penumpang telah diberi jamin polis.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek dan penumpang dapati negatif dadah. Siasatan lanjut masih dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan dan mengenal pasti pemandu sebuah Perodua Alza berwarna merah yang dipandu secara berlawanan arus di Lebuhraya Utara-Selatan selepas satu rakaman video mengenainya tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 36 saat itu, kejadian tersebut berlaku Isnin lalu di sekitar kawasan hentian rehat Senawang di Kilometer (KM) 248 (U) menuju ke arah KM 240 (U) Lebuhraya Utara-Selatan.