Polis teliti rakaman CCTV, kesan penunggang motosikal lawan arus

Polis sedang giat mengesan penunggang motosikal lawan arus yang mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya SUKE pada Rabu.
Polis sedang giat mengesan penunggang motosikal lawan arus yang mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya SUKE pada Rabu.
A
A
A

AMPANG - Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang melawan arus sehingga mengakibatkan kemalangan maut di Kilometer 22.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pada masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti penunggang motosikal terbabit termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

"Usaha mengesan penunggang motosikal terbabit masih dijalankan selain siasatan menyeluruh melibatkan semakan CCTV di lokasi kejadian.

"Orang ramai atau saksi yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan polis," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya di Kilometer 22.2 Lebuhraya SUKE.

Mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.

Mangsa kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter.

Mohd Azam berkata, mayat mangsa dalam proses bedah siasat di Hospital Ampang.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen kecam penunggang motosikal lawan arus

Penunggang Ducati maut jatuh 'flyover' elak motosikal lawan arus