Netizen kecam penunggang motosikal lawan arus

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Netizen mengecam tindakan penunggang motosikal melawan arus sehingga menyebabkan seorang lelaki maut tercampak daripada motosikal berkuasa yang ditunggangnya di Kilometer 22.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di sini pada Rabu.

Menerusi ruangan komen akaun Facebook Sinar Harian pada Rabu, rata-rata pengguna melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap kejadian yang menimpa mangsa.

Salah seorang pengguna bernama Nizam mahu pihak berkuasa mengesan pelaku tersebut agar keluarga mangsa kejadian mendapat keadilan sebaik-baiknya.

“Cari pemilik motosikal yang lawan arus dan periksa kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan wajah pelaku kejadian ini,” ujarnya.

Shafei Jusoh pula menggesa, pelaku kejadian tersebut menerima hukuman yang setimpal.

“Penunggang motosikal melawan arus perlu diberi hukuman setimpal kerana mengakibatkan kematian," tulisnya.

Dalam pada itu, Zahari Ismail berkata, kejadian melawan arus di atas jalan raya bukan sahaja menyusahkan pengguna, tetapi mengundang bahaya sehingga maut.

“Orang yang bawa kenderaan lawan arus ini memang menyusahkan pengguna lain. Tolong cari pelaku sampai dapat,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook bernama Zue Harley Quinn, turut mengecam sikap tidak bertanggungjawab penunggang berkenaan sehingga menyebabkan pengguna jalan raya lain menjadi mangsa.

“Kerana kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab individu lain, menyebabkan mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa,” katanya.

Dalam kejadian pada Rabu, mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya sebelum jatuh dari jambatan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.