X

Kindly register in order to view this article
!

SC menang saman sivil dagangan orang dalam

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini mendapati bahawa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah berjaya membuktikan tuntutan saman sivil terhadap Datuk Sreesanthan Eliathamby, 60, membabitkan dagangan orang dalam.

Menurut kenyataan SC, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan mendapati Sreesanthan telah melanggar Seksyen 89E(2)(a) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 apabila beliau memperolehi sejumlah 600,000 saham Worldwide Holdings Bhd (Worldwide) antara 7 Jun 2006 dan 11 Julai 2006 sewaktu memiliki maklumat material bukan awam.

Dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi mendapati Sreesanthan memiliki maklumat material bukan awam berkaitan dengan cadangan penswastaan Worldwide oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor melalui skim pengaturan ahli di bawah Seksyen 176 Akta Syarikat 1965.

Cadangan penswastaan Worldwide tersebut kemudiannya diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 23 Ogos 2006.

Sreesanthan merupakan rakan kongsi kanan sebuah firma undang-undang dan bertindak sebagai penasihat undang-undang CIMB Investment Bank Bhd bagi cadangan penswastaan Worldwide.

Menurut SC, dengan keputusan yang memihak kepada tuntutannya, mahkamah telah memerintahkan Sreesanthan membayar sejumlah RM1.98 juta kepada SC iaitu jumlah yang bersamaan tiga kali ganda keuntungan diperoleh daripada dagangan orang dalam tersebut.

Selain itu, Sreesanthan juga telah diperintah untuk membayar penalti sivil sebanyak RM1 juta kepada SC dan dilarang menjadi pengarah dalam mana-mana syarikat awam tersenarai bagi tempoh 10 tahun bermula pada 18 November 2020.

SC turut diberi bayaran kos sebanyak RM100,000. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!