122 projek perkilangan diluluskan di Selangor hingga Jun

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 122 projek perkilangan telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Selangor bermula Januari hingga Jun tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua projek perkilangan yang diluluskan itu membabitkan nilai pelaburan berjumlah sehingga RM3.39 bilion.

Beliau berkata, daripada jumlah pelaburan secara keseluruhan, sejumlah RM1.83 bilion merupakan pelaburan tempatan manakala baki RM1.56 bilion lagi adalah bagi pelaburan asing.

"Sektor pembuatan makanan membawa jumlah modal terbesar sehingga Jun lalu iaitu RM1.16 bilion," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Rosni Sahar (BN-Hulu Bernam) berhubung jumlah pelaburan domestik terkini di Selangor.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, walaupun negara dilanda wabak Covid-19, kerajaan Selangor tetap melaksanakan promosi yang dirancang sebelum ini menerusi pelbagai program seperti webinar, pameran secara maya serta program fizikal yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai program untuk memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini (pelabur)," katanya.

Artikel Berkaitan: