Tangisan bapa kandung rindui Cik B, Kacak

Mohd Amin Yasin menunjukkan gambar anaknya, Cik B dan Kacak.
Mohd Amin Yasin menunjukkan gambar anaknya, Cik B dan Kacak.
A
A
A

KOTA BHARU - Bapa kandung kepada dua anak jutawan kosmetik dari Kelantan, Cik B dan Kacak tidak dapat menahan sebak akibat terlalu rindukan dua beradik itu ketika hadir menuntut haknya di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu di sini hari ini.

Peniaga kedai makan berkenaan, Mohd Amin Yasin, 42, mendakwa sudah dua tahun tidak dapat bertemu dengan anak ketiga dan keempat hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas isteri iaitu Pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, 49, atau lebih dikenali dengan gelaran Datuk Seri Vida Qu Puteh.

Menurutnya, beliau sudah berusaha pelbagai cara untuk bersua dengan Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 15, dan Muhammad Eric Zecquan,13, termasuk berkunjung ke rumah Datuk Seri Vida di Meru, Ipoh, Perak namun mendakwa hanya bersua dari luar pagar.

Mohd Amin Yasin
Mohd Amin Yasin

“Kami berkahwin pada 2000 dan bercerai 2008 sebelum saya berkahwin lain pada November 2018. Selepas itu, hanya beberapa kali sebelum 2019 dapat melihat dua beradik itu di tempat tinggal Datuk Seri Vida manakala selebihnya curi-curi melihat mereka dari jauh. Saya juga kerap menghubungi anak tetapi tidak berjawab dan sekarang nombor langsung tidak ada dalam talian, saya syak mungkin ada yang menukar nombor telefon mereka.

“Saya hendak berunding dengan Datuk Seri Vida tetapi dia mengelak. Apabila merindui anak-anak saya akan tengok gambar-gambar mereka di Facebook, televisyen selain berpura-pura seperti tidak ada apa-apa yang berlaku walaupun hati saya sebenarnya terlalu rindu mereka,” katanya sambil mengesat air mata ketika ditemubual pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Syariah Tunjong di sini hari ini.

Susulan itu, Mohd Amin sebagai plaintif mengemukakan tuntutan hadanah melalui Peguam Syarie, Tetuan Mohd Zaki Zainal Abdin pada 21 Oktober lalu bagi mendapatkan hak lawatan, bermesra dan bermalam bersama dua beradik itu dengan menamakan Datuk Seri Vida sebagai defendan.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes namun tidak dihadiri pihak defendan.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding berkenaan, Hakim Syarie Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty berkata, beliau tidak akan membuat keputusan sehingga kes didengari dan dihadiri oleh kedua-dua pihak.

Mohd Amin Yasin (kanan) tidak dapat menahan air mata ketika ditemubual pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Syariah Tunjong hari ini.
Mohd Amin Yasin (kanan) tidak dapat menahan air mata ketika ditemubual pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Syariah Tunjong hari ini.

“Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 November ini.

“Sebolehnya kedua-dua anak mereka juga perlu hadir ke mahkamah pada tarikh tersebut bagi membolehkan pihak mahkamah sendiri melakukan siasatan terhadap kes ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaki menjelaskan bahawa hak tuntutan anak guamnya sekadar untuk mendapatkan hak lawatan, bermesra dan bermalam bersama kedua-dua beradik berkenaan serta bukan untuk hak penjagaan penuh.

“Plaintif sudah terlalu lama memendam perasaan dan terpaksa memilih mengemukakan tuntutan melalui mahkamah bagi mendapat akses kepada kedua-dua anaknya itu,” katanya.

Selain Cik B dan Kacak, pasangan tersebut turut mempunyai dua anak kembar lelaki sulung, Allahyarham Muhammad Eddie Zuhdie dan kedua, Allahyarham Muhammad Edrie Zikri masing-masing berusia lima tahun yang terkorban dalam insiden tragis kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Meru Hills, Taman Meru, Ipoh, Perak pada 3 Ogos 2013.