Tak perlu darurat, beri laluan di Batu Sapi

Muhyiddin perlu segera mengumumkan Bersatu dan GRS tidak bertanding dalam PRK Batu Sapi dan tidak perlu menunggu hingga saat akhir.
Muhyiddin perlu segera mengumumkan Bersatu dan GRS tidak bertanding dalam PRK Batu Sapi dan tidak perlu menunggu hingga saat akhir.
A
A
A

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan bahawa kerajaan sukar untuk mengawal penularan koronavirus (Covid-19) jika pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan dalam masa terdekat.

Pada masa sama Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, bakal diadakan pada 5 Disember ini.

Dalam perutusan khas baru-baru ini, Muhyiddin berkata, tiada ruang dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri Sarawak untuk ia ditangguhkan kecuali darurat diisytiharkan.

Muhyiddin berkata, pihaknya terbuka mendengar pandangan pakar berkaitan dalam pengurusan pilihan raya dan kesihatan di Malaysia.

“Saya tahu banyak kekangan dihadapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggubal SOP (prosedur operasi standard) yang benar-benar berkesan bagi memastikan tiada jangkitan langsung semasa pilihan raya diadakan,” katanya.

Menurutnya, antara kekangan yang dihadapi termasuklah untuk menghalang pergerakan pengundi di kawasan merah keluar mengundi kerana dalam Perlembagaan, mereka ada hak untuk mengundi.

PRK Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.

Berdasarkan kenyataan Muhyiddin, jelas menunjukkan Bersatu masih berminat untuk meletakkan calon bertanding.

Artikel Berkaitan:

Keadaan politik ketika ini juga dilihat menjadi faktor utama kepada hasrat tersebut kerana Bersatu memerlukan pertambahan kerusi di Dewan Rakyat.

Bersatu perlu menambah kerusi Parlimen jika mahu terus menjadi dominan dalam kerajaan.

Bagaimanapun, jika Bersatu secara rasmi tidak bertanding di Batu Sapi, sudah tentu akan memberi kelebihan kepada pentadbiran Muhyiddin kerana rakyat akan melihat kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat mementingkan keselamatan pengundi berbanding politik.

Pendirian

Setakat ini, beberapa parti termasuk Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Cinta Sabah (PCS), Pakatan Harapan (PH), Pas Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sudah menyatakan pendirian masing-masing untuk tidak menyertai PRK.

Kelmarin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan BN membuat keputusan tidak bertanding dan menggesa semua parti lain mengambil keputusan sama.

“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan pada PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional bagi mengurangkan impak Covid-19 kepada masyarakat. Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan,” katanya.

Sebelum ini, PBS selaku rakan kongsi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menegaskan keputusan tidak akan bertanding selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan di negeri itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, PBS mengambil berat aspek keselamatan dan kesihatan rakyat sebagai perkara yang perlu diberi keutamaan dalam situasi yang mencabar ketika ini.

“Disebabkan situasi itu, PBS memutuskan untuk tidak bertanding walaupun ia adalah kerusi yang menjadi kubu kuat PBS. Sebagai parti berbilang kaum, PBS mempunyai ramai ahli dan pengikut di Batu Sapi,” katanya.

Pas Sabah juga tidak bercadang meletakkan calon pada PRK Batu Sapi susulan kes Covid-19 yang semakin meningkat di Sabah.

Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, dalam keadaan semasa, lebih baik tidak meletakkan calon bagi mengelak menjadi salah satu entiti yang menggalakkan penularan Covid-19.

Muhyiddin perlu segera mengumumkan Bersatu, Perikatan Nasional (PN) dan GRS tidak bertanding dalam PRK Batu Sapi dan tidak perlu menunggu hingga saat akhir.

Ia bagi memudahkan petugas SPR dan pengundi supaya tidak perlu berfikir untuk keluar mengundi dan fokus dalam memerangi Covid-19 di Sabah terutama di daerah Batu Sapi dan Sandakan yang kini masih zon merah.

* Riswandi Razak ialah Web Master Sinar Harian Online