[VIDEO] Bapa harap pembunuh Siti Nur Surya terima balasan setimpal

Ismail kelihatan sugul ketika jenazah anaknya Siti Nur Surya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat hari ini.
Ismail kelihatan sugul ketika jenazah anaknya Siti Nur Surya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- [DIKEMAS KINI] Saya harap orang yang menyebabkan kematian Siti Nur Surya akan menerima hukuman yang setimpal, kata bapa kepada Allahyarhamah Siti Nur Surya, 19, yang ditemui mati dengan kesan tetakan di Kampung Lubuk Batu, Telemong semalam.

Ismail Muda, 58, berkata, beliau sama sekali tidak menyangka suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu merupakan bekas rakan sekolah yang pernah berkawan rapat dengan arwah.

“Dia (suspek) sering datang ke rumah, namun sejak beberapa bulan lepas agak jarang menemui kakak (Siti Nur Surya) di rumah. Saya benar-benar tidak sangka dengan kejadian yang menimpa,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Beladau Selat di sini, malam ini.

Dalam kejadian semalam, mayat Siti Nur Surya ditemui dengan kesan tetakan pada badan serta putus tangan kiri di ruang tamu rumah, dan polis hari ini menahan seorang suspek yang merupakan seorang pelajar perempuan tingkatan enam, rakan sebaya arwah.

Sementara itu adik arwah, Nor Liyana Syuhada, 15, berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan kakaknya itu ialah pagi semalam sebelum pergi ke sekolah dan ketika itu kakaknya masih lagi tidur di bilik mereka.

Beliau berkata, arwah merupakan seorang yang peramah serta periang apabila bersama keluarga dan kehilangannya amat dirasai oleh mereka sekeluarga.

“Kami memang berkongsi bilik yang sama tetapi sejak minggu lepas arwah sering tidur bersendirian di ruang tamu, dan malam sebelum kejadian kakak sempat tidur bersama emak. Petang tadi kami terpaksa beritahu emak yang arwah telah meninggal dunia disebabkan demam kerana bimbang kejadian ini akan menjejaskan kesihatannya,” katanya yang kelihatan hiba.

Artikel Berkaitan:

Ismail (tengah) menyiram air mawar pada pusara anaknya yang selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat hari ini.
Ismail (tengah) menyiram air mawar pada pusara anaknya yang selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat hari ini.

Sementara itu, jenazah Siti Nor Surya selamat dikebumikan kira-kira jam 8.15 malam di tanah perkuburan Kampung Beladau Selat dengan dihadiri keluarga terdekat serta penduduk setempat.

Terdahulu jenazah Siti Nur Surya selesai dibedah siasat lewat petang tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dibawa ke masjid untuk disembahyangkan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja jaga ibu sakit maut dipercayai dibunuh

Rakan sekolah kepada mangsa bunuh ditahan