X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Remaja jaga ibu sakit maut dipercayai dibunuh

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Gambar kecil: Siti Nor Surya. Foto: Ihsan pembaca
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang remaja perempuan yang menjaga ibunya terlantar sakit ditemui mati di ruang tamu rumahnya dipercayai dibunuh dalam kejadian di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, Siti Nor Surya Ismail, 19, ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian ruang tamu rumah tersebut dengan pergelangan tangan kirinya putus dan kesan kecederaan lain pada bahagian muka serta badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 9 pagi dan mayat mangsa ditemui adik bongsunya yang berusia 15 tahun sebaik pulang dari sekolah kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam.

"Hasil siasatan mendapati kediaman mangsa dipercayai dirompak kerana sejumlah wang bernilai ratusan ringgit, dua beg tangan serta dua telefon bimbit telah hilang," kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek adalah individu yang dikenali keluarga mangsa atau si mati.

"Berdasarkan kejadian kita dapati ia mungkin dilakukan suspek secara berseorangan dan pihak polis sedang giat memburu suspek," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Ismail Muda, 58 berkata, ketika kejadian beliau tiada di rumah, manakala mangsa yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser otak.

"Dia memang sentiasa ada di rumah sebab jaga isteri saya sakit. Isteri saya tak boleh bergerak dan terlantar sejak setahun lalu.

"Saya keluar bekerja jam 7 pagi tadi tetapi waktu itu tak sempat pun jumpa dan bercakap dengan dia," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!